Tiada permusuhan peribadi antara saya dan Ronaldo – Messi

Tiada permusuhan peribadi antara saya dan Ronaldo – Messi


LIONEL Messi sekali lagi menegaskan bahawa tidak pernah wujud permusuhan peribadi antara dirinya dengan musuh tradisi, Cristiano Ronaldo walaupun kedua-duanya sering dibandingkan sepanjang era kegemilangan mereka di Sepanyol.

Bercakap dalam satu temu bual bersama Pollo Alvarez, pemenang lapan kali Ballon d’Or itu menyifatkan persaingan sengit antara mereka hanyalah perkara biasa dalam dunia bola sepak, terutama ketika kedua-duanya berada di kemuncak kerjaya bersama Barcelona dan Real Madrid.

“Ia adalah sesuatu yang semulajadi dalam dunia bola sepak. Saya di Barcelona dan dia di Real Madrid.

“Kami bersaing untuk merebut segala-galanya, baik secara berpasukan mahupun individu, jadi peminat sentiasa membandingkan kami,” ujar Messi.

Menurut kapten Argentina itu, hubungan mereka sentiasa profesional dan penuh rasa hormat.

“Hubungan kami sentiasa baik dan penuh hormat. Apa yang berlaku di padang hanyalah atas dasar sukan, tiada yang bersifat peribadi,” tambahnya lagi.

Selama lebih sedekad, dunia bola sepak dunia didominasi oleh dua gergasi ini yang silih berganti merangkul anugerah Ballon d’Or dan trofi Liga Juara-Juara, sekali gus mencetuskan perdebatan tanpa henti mengenai siapakah pemain terbaik sepanjang zaman.

Messi menjelaskan, ketegangan yang wujud antara mereka lebih banyak dicipta oleh persekitaran kompetitif dan media berbanding realiti hubungan sebenar mereka.

“Kami tidak sering bertemu kecuali ketika perlawanan atau majlis penganugerahan, dan hubungan kami sentiasa baik. Kini, kami berada di fasa kehidupan yang berbeza, tetapi apa yang berlaku sebelum ini adalah satu persaingan sukan yang indah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, apabila ditanya mengenai detik paling manis sepanjang karier profesionalnya, Messi tanpa berselindung memilih kejayaan menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar sebagai pencapaian tertinggi.

“Adakah itu versi terbaik karier saya? Saya tidak pasti. Tetapi apabila bercakap tentang detik paling bermakna, fikiran saya sentiasa tertumpu kepada Piala Dunia di Qatar. Memenangi Piala Dunia adalah perkara paling hebat buat diri saya,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top