Arkib Komuniti memasyarakatkan sejarah negara

Arkib Komuniti memasyarakatkan sejarah negara


Dalam landskap dunia yang semakin pantas berubah, usaha memelihara sejarah tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada institusi rasmi.

Menyedari hakikat ini, Kementerian Perpaduan Negara tampil dengan satu pendekatan berani dan inklusif melalui inisiatif Arkib Komuniti, yang kini muncul sebagai gerakan nasional untuk “memasyarakatkan sejarah negara”.

Cetusan idea oleh Datuk Aaron Ago Dagang ini menandakan perubahan besar dalam pendekatan pengurusan sejarah negara.

Dilancarkan secara rasmi pada 17 Mei 2025, Arkib Komuniti kini menjadi platform inklusif yang membuka ruang kepada masyarakat untuk mendokumentasikan identiti, pengalaman dan warisan mereka sendiri.

Dilaksanakan oleh Arkib Negara Malaysia, inisiatif ini memberi peluang kepada rakyat menyumbang bahan sejarah seperti dokumen, manuskrip, gambar, rakaman audio visual dan sejarah lisan.

Lebih penting, ia mengiktiraf bahawa sejarah sebenar negara tidak hanya tertulis dalam buku rasmi, tetapi hidup dalam memori dan pengalaman masyarakat.

Sehingga Mac 2026, sebanyak 309,740 unit koleksi komuniti telah direkodkan dalam simpanan Arkib Negara Malaysia manakala 6,296 unit lagi berjaya diperoleh sepanjang tahun 2025 sahaja.

Pencapaian ini membuktikan sambutan luar biasa masyarakat terhadap usaha memasyarakatkan arkib.


Gambar lama juga boleh diserahkan bagi tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan agar generasi baru dapat melihat dan melakukan penyelidikan.

Antara koleksi terawal yang disimpan termasuk surat-menyurat tokoh penting seperti Thomas Stamford Raffles (1810), Tengku Omar Ibni Sultan Ahmad Shah (1848) dan Zainal Abidin Ahmad (1903).

Khazanah ini bukan sahaja bernilai sejarah tinggi, malah menjadi rujukan penting dalam memahami perjalanan negara. Sumbangan individu turut memperkukuh koleksi negara.

Antaranya, koleksi persendirian terbesar disumbangkan oleh Allahyarham Ahmad Sarji Abdul Hamid yang merangkumi lebih 21,000 unit bahan.

Lebih membanggakan, koleksi surat Tengku Omar telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan dalam program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) di bawah UNESCO pada tahun 2024 – sekali gus mengangkat warisan negara ke pentas global.

Tidak terhenti di situ, bermula 2025, Arkib Komuniti memberi fokus kepada dokumentasi warisan tidak ketara seperti bahasa pertuturan, perubatan tradisional dan makanan tradisional, elemen penting yang membentuk identiti masyarakat tetapi sering terpinggir.

Bagi tempoh 2026 hingga 2028, program ini akan diperluaskan ke seluruh negara dengan penekanan kepada komuniti unik seperti Baba Nyonya di Melaka, Orang Laut di Johor, komuniti Kampung Baru di Kuala Lumpur serta amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Pendekatan ini penting bagi memastikan sejarah komuniti, khususnya yang kecil dan terpinggir terus dipelihara dan tidak hilang ditelan zaman.

Hakikatnya, Arkib Komuniti bukan sekadar inisiatif dokumentasi, tetapi satu gerakan nasional yang memperkukuh jati diri dan perpaduan.

Ia menghubungkan generasi, merapatkan jurang budaya dan memastikan setiap suara dalam masyarakat Malaysia diangkat sebagai sebahagian daripada naratif besar negara.

Dalam dunia yang pantas berubah, Arkib Komuniti hadir sebagai benteng warisan memastikan sejarah Malaysia bukan sahaja diingati, tetapi terus hidup dalam jiwa rakyatnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top