JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet berbasikal trek para, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas sempena Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.
Naib Presiden SAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SAM-100PLUS 2025, Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata, pengiktirafan itu diberikan atas kegigihan, pengorbanan serta pencapaian luar biasa dipamerkan kedua-dua atlet berkenaan di pentas antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan diraih bukan hadir sekelip mata, sebaliknya menuntut disiplin tinggi, kesabaran dan komitmen luar biasa sepanjang karier mereka.
“SAM berharap pengiktirafan ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada Muhammad Irfan dan Mohamad Yusof, malah menjadi inspirasi kepada lebih ramai atlet muda untuk terus mengejar kejayaan demi negara.
“Kejayaan tidak datang bergolek. Ia memerlukan pengorbanan besar dan kesabaran yang tinggi untuk direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Irfan sekali lagi membuktikan statusnya sebagai raja lempar cakera Asia Tenggara apabila menghadiahkan pingat emas buat negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Lebih manis, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu turut memecahkan rekod temasya sekali gus meraih emas ketujuh berturut-turut sejak mula menguasai acara tersebut pada edisi 2013 di Myanmar.
Sementara itu, Mohamad Yusof turut mencipta sejarah membanggakan apabila muncul atlet para negara pertama menyarung Jersi Pelangi selepas menjuarai acara MC1 200 meter flying sprint pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.
Dalam perkembangan sama, Allianz Malaysia Berhad turut menerima Anugerah Khas SAM-100PLUS 2025 menerusi penganjuran Kejohanan Badminton Remaja Allianz yang dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan badminton negara di peringkat akar umbi.
Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadual berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu ini dan bakal disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Selain Anugerah Khas, majlis berprestij itu turut mempertandingkan kategori Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik dan Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.
Majlis berkenaan bukan sahaja mengiktiraf atlet yang mengharumkan nama negara sepanjang tahun lalu, malah turut meraikan pengamal media sukan menerusi pelbagai kategori pertandingan dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan melebihi RM65,000.
Antara kategori dipertandingkan ialah Laporan Berita Terbaik Media Cetak, Laporan Berita Terbaik Media Elektronik, Ulasan Berita Terbaik Media Cetak, Ulasan Berita Terbaik Media Elektronik, Laporan Khas Terbaik Terbuka, Fotografi Sukan Terbaik dan Anugerah Pengulas Sukan Popular.






