KERAJAAN United Kingdom (UK) dilaporkan berdepan tekanan untuk mempertimbangkan sekatan terhadap pemilik Manchester City, Sheikh Mansour bin Zayed Al-Nahyan susulan dakwaan berkaitan konflik di Sudan.
Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketika ini masih dalam siasatan berhubung lebih 115 pertuduhan pelanggaran Peraturan Kewangan Adil (FFP), namun Manchester City menyatakan mereka tidak bersalah terhadap semua dakwaan tersebut.
Sejak pengambilalihan oleh Sheikh Mansour pada 2008, kelab berpangkalan di Manchester itu berubah menjadi kuasa besar bola sepak England dengan meraih lapan kejuaraan EPL, satu trofi Liga Juara-Juara (UCL), tiga Piala FA dan tujuh Piala Liga.
Era pemilikan beliau turut menyaksikan pembangunan besar-besaran di kawasan Eastlands termasuk naik taraf Stadium Etihad, selain pembangunan Co-op Live Arena, Pusat Berbasikal Nasional, Velodrom serta Pusat Skuasy Nasional.
Konflik di Sudan dilaporkan meragut sekurang-kurangnya 150,000 nyawa berdasarkan data pelbagai agensi bantuan serta kerajaan Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan UK kini menerima tekanan daripada organisasi hak asasi manusia FairSquare yang menggesa siasatan terhadap peranan Sheikh Mansour berhubung dakwaan kaitan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kumpulan separa tentera (RSF) yang dikaitkan dengan jenayah perang, menurut laporan The Athletic.
Bagaimanapun, UAE menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam konflik tersebut.
Sheikh Mansour berisiko hilang pemilikan Manchester City
FairSquare mendakwa sekiranya kerajaan UK mengenakan sekatan terhadap Sheikh Mansour, beliau boleh hilang kelayakan untuk memiliki Manchester City di bawah peraturan pemilikan EPL.
Pertubuhan itu turut memaklumkan aduan telah dikemukakan kepada EPL serta badan pengawal selia bola sepak bebas yang baharu.
“Jika kerajaan UK serius mahu menghentikan konflik ini, hubungan Sheikh Mansour yang didokumenkan dengan RSF serta pemilikan Manchester City memberi titik tekanan yang jelas,” kata pengarah FairSquare, Nick McGeehan.
Kerajaan UK sebelum ini pernah menetapkan preseden sama apabila bekas pemilik Chelsea, Roman Abramovich dikenakan sekatan pada 2022 susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Chelsea kemudian dijual kepada konsortium diketuai Todd Boehly dan Clearlake Capital dengan nilai melebihi £4 bilion.
Abramovich dan kerajaan UK kini masih terlibat dalam pertikaian undang-undang berkaitan hasil jualan kelab tersebut.
Sekiranya sekatan dikenakan terhadap Sheikh Mansour, ia boleh membawa kepada pelanggaran peraturan Pemilik dan Pengarah EPL.
The Athletic memaklumkan semua pihak berkaitan telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas, namun tiada respons diberikan setakat laporan ini diterbitkan.






