razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pembantu khas Teresa Kok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu Ahli Parlimen Seputeh itu berhubung sumbangan sekolah di bawah Projek Mesra Rakyat dan menerima suapan RM500,000, dua tahun lalu.
Edmund Teoh Kheng Yaik, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak bersalah,” katanya sebaik dibacakan pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan Teresa, 62, untuk mempercayai bahawa hanya dua sekolah di parlimen berkenaan memohon sumbangan ‘Interactive Smart Board’, sedangkan tertuduh tahu terdapat 16 sekolah lain memohon bantuan sama.
Dia dengan sengaja mendorong Teresa untuk bersetuju supaya tertuduh membuat permohonan sumbangan tersebut melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana pemimpin itu tidak akan bersetuju sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh, di Off Jalan Kuchai Lama, di sini pada Jun 2024 dan pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun, sebagai upah membantu mendapatkan sumbangan bagi pembekalan Interactive Smart Board dan peralatan berkaitan, kepada 16 sekolah di Parlimen Seputeh oleh TMT IT Solutions milik isteri lelaki berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Kuchai Lama, di sini pada 12 Ogos 2024 dan pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






