Nikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana Anak

Nikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana Anak

Hidayah itu milik Allah. Kadang-kadang ia datang melalui nasihat insan tersayang, kadang-kadang hadir selepas melalui pengalaman spiritual, dan ada masanya ia mengetuk pintu hati melalui kata-kata polos seorang anak kecil.

Begitulah kisah menyentuh hati yang dikongsikan selebriti terkenal Indonesia, Nikita Willy, apabila dia mendedahkan antara detik awal hatinya terbuka untuk mengenakan hijab.

Perjalanan Nikita untuk berhijab bukanlah berlaku secara tiba-tiba. Sebaliknya, ia melalui proses yang panjang dan penuh makna, apatah lagi selepas dirinya bergelar seorang isteri dan ibu.

Nikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana Anak

Nikita Willy Akui Suami Tidak Pernah Memaksa

Menerusi sebuah perkongsian, suami kepada Nikita iaitu Indra Priawan menjelaskan bahawa dia tidak pernah memaksa isterinya untuk memakai tudung.

Bagi Indra, keputusan untuk berhijab perlu datang daripada hati Nikita sendiri, bukan kerana paksaan sesiapa.

“Saya sama sekali tidak ada paksaan. Bukanlah permintaan, tetapi saya hanya bertanya padanya, ‘awak bila mahu berhijab?’”

Menurut Nikita, suaminya tidak pernah menyuruh atau bertanya secara khusus tentang hijab. Namun, Indra pernah menyuarakan harapan secara lembut agar isterinya dapat berhijab sebelum usia 40 tahun.

“Dia tidak pernah menyuruh atau bertanya secara specific tentang hijab, cuma dia pernah berkata kalau boleh pakailah sebelum usia 40 tahun.”

Kata-kata itu tidak hadir dalam bentuk tekanan, sebaliknya menjadi antara nasihat lembut yang perlahan-lahan menyentuh hatinya.

Nikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana AnakNikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana Anak

Mahu Jadi Contoh Yang Baik Untuk Anak-Anak

Bagi Nikita Willy, keputusan untuk mula menutup aurat bukan sesuatu yang mudah. Ada perjalanan, pertimbangan dan proses dalaman yang perlu dilalui sebelum dia benar-benar bersedia.

Namun, salah satu sebab besar yang membuatkan hatinya terbuka adalah kerana anak-anaknya.

“Proses untuk jadi seperti ini sebenarnya panjang, tapi salah satu alasannya adalah saya ingin berusaha menjadi contoh yang baik untuk anak-anak saya.”

Sebagai seorang ibu, Nikita mahu anak-anaknya melihat contoh yang baik dalam diri mereka. Bukan hanya dari segi tutur kata dan tingkah laku, tetapi juga usaha untuk memperbaiki diri serta mendekatkan diri kepada Allah.

Penghijrahan seorang wanita sering kali bukan sekadar perubahan pada penampilan. Ia juga lambang perjalanan hati, keyakinan dan keinginan untuk menjadi versi diri yang lebih baik.

Permintaan Issa Buat Hati Ibu Tersentuh

Lebih menyentuh hati, Nikita Willy turut berkongsi kisah anak sulungnya, Issa Xander Djokosoetono, yang secara tidak langsung menjadi antara asbab dirinya memilih untuk berhijab.

Menurut Nikita, selepas pulang daripada menunaikan umrah, guru mengaji Issa tiba-tiba menghadiahkannya sehelai hijab.

Pada awalnya, Nikita tidak menyangka ada kisah manis di sebalik pemberian tersebut.

“Ada satu kisah yang sangat tersentuh. Selepas saya pulang umrah, guru mengaji anak saya, Issa, tiba-tiba hadiahkan saya hijab.”

Guru mengaji itu kemudian menjelaskan bahawa dia sebenarnya mahu memberikan hadiah kepada Issa kerana anak kecil itu menunjukkan perkembangan yang baik dalam mengaji.

Namun apabila ditanya hadiah apa yang dimahukan, jawapan Issa benar-benar membuat hati seorang ibu tersentuh.

“Gurunya berkata, ‘saya mahu beri Issa hadiah kerana dia bagus mengaji dan selepas ditanya apa yang dia mahu, dia jawab mahu beli tudung untuk ibu.’”

Jawapan polos Issa itu cukup memberi kesan kepada Nikita. Anak kecil itu tidak meminta mainan, makanan atau hadiah untuk dirinya sendiri. Sebaliknya, dia memilih sesuatu yang berkaitan dengan ibunya.

Bagi seorang ibu, permintaan seperti itu tentu sahaja membawa makna yang sangat dalam. Ia seolah-olah menjadi isyarat lembut yang hadir tepat pada waktunya.

Nikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana AnakNikita Willy Kongsi Kisah Indah Hidayah Berhijab Kerana Anak

Hidayah Hadir Dengan Cara Paling Indah

Kisah Nikita Willy ini mengingatkan kita bahawa hidayah boleh hadir melalui pelbagai cara. Ada yang tersentuh selepas mendengar nasihat, ada yang berubah selepas melalui ujian hidup, dan ada juga yang terbuka hati melalui kata-kata anak sendiri.

Penampilan terbaharu Nikita yang kini lebih sopan dan mengenakan hijab turut mendapat perhatian ramai warganet. Rata-rata meluahkan rasa gembira serta mendoakan agar pelakon cantik itu terus istiqamah dalam perjalanan baharunya.

Difahamkan, Nikita mula mengenakan pakaian muslimah selepas menunaikan umrah sebelum ini. Perubahan tersebut disambut baik oleh peminat yang melihatnya sebagai satu fasa indah dalam kehidupan seorang wanita.

Nikita Willy Didoakan Terus Istiqamah

Setiap wanita mempunyai perjalanan hijrah yang berbeza. Ada yang cepat, ada yang perlahan. Ada yang bermula dengan satu nasihat kecil, ada juga yang bermula daripada satu pengalaman yang menyentuh jiwa.

Apa yang penting, setiap langkah menuju kebaikan wajar diraikan dan didoakan.

Semoga Nikita terus diberi kekuatan untuk istiqamah dalam penampilan baharunya. Semoga kisah ini juga menjadi inspirasi buat wanita lain yang sedang berusaha memperbaiki diri, perlahan-lahan tetapi penuh keikhlasan.

BACA LAGI : Adakan Kuliah Di Rumah, ‘Kecomelan’ Anak Nikita Willy Berkopiah Curi Perhatian!

OR

Scroll to Top