mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) hanya selangkah untuk menjulang trofi sulung musim ini selepas mengesahkan slot ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26, sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir selepas SFC menewaskan Nam Dinh FC 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong, sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 4-1 ke atas wakil Vietnam itu.
“Ini satu pencapaian besar buat pasukan. Kami bekerja keras sepanjang musim dan layak berada di pentas final,” kata jurulatih Selangor FC.
SFC terlebih dahulu hampir membuka tirai jaringan menerusi Hugo Boumous yang menghantar bola cantik dari sayap kiri kepada Chrigor Moraes pada minit ke-19, namun percubaan penyerang Brazil itu berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah.
Selang beberapa minit kemudian, Selangor terus menguasai permainan dengan beberapa asakan berbahaya ke kubu Nam Dinh FC yang jelas bergelut mengekang serangan pelawat.
Tuan rumah cuba bangkit, namun benteng pertahanan SFC kekal kebal menutup setiap ruang untuk mereka mencipta peluang bersih.
Drama bermula pada minit ke-38 apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan insiden kekasaran Mitchell Dijks ke atas Mohammad Abualnadi ketika sepakan sudut, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Selangor FC.
Moraes tenang menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan SFC di depan 1-0 dan semakin selesa dengan agregat 3-1 ketika itu.
Bersambung babak kedua, Nam Dinh FC cuba meningkatkan intensiti permainan bagi memburu gol yang mampu menghidupkan peluang mereka dalam perlawanan.
Namun usaha tuan rumah sekali lagi dihampakan apabila jaringan Lam Ti Phong pada minit ke-51 dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku ofsaid lebih awal dalam pembinaan serangan.
Selangor kekal disiplin bertahan sambil beberapa kali mengancam melalui serangan balas pantas yang mengekalkan tekanan ke atas tuan rumah.
Ketika perlawanan hampir tamat, Moraes sekali lagi menjadi watak utama apabila meledak gol kedua pada minit ke-90 hasil penyudah klinikal yang mematikan terus harapan Nam Dinh FC.
Gol itu memastikan SFC melangkah bergaya ke final ACC dengan agregat meyakinkan 4-1.
SFC kini menanti pemenang satu lagi separuh akhir membabitkan Buriram United atau Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Buriram mendahului 3-1 secara agregat.
Aksi final pertama dijadualkan berlangsung pada 20 Mei, manakala final kedua pada 27 Mei.
© New Straits Times Press (M) Bhd





