am@hmetro.com.my
Melaka : Seorang ibu tunggal terpaksa melepaskan pekerjaan sebagai kerani demi memberi sepenuh perhatian terhadap anak bongsunya yang menghidap hidrosefalus sejak bayi.
Nur Asyikin Jaafar, 28, berkata, keputusan itu dibuat selepas anaknya, Anggun Cempaka Muhd Sulaiman Adam, 2, kerap menerima rawatan di hospital sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti terlalu kerap.
Menurutnya, keadaan tersebut berlanjutan apabila Anggun perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan berkala di beberapa hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Melaka.
“Ketika anak berusia tiga bulan, keadaan kepalanya semakin besar dan saya kerap ambil cuti untuk bawa dia ke hospital.
“Dalam sebulan lebih 10 hari saya ambil cuti sebab urusan rawatan, Bila keadaan berterusan, saya terpaksa ambil keputusan berhenti kerja,” katanya selepas menerima kunjungan Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) yang diwakili Dr Khor Ying Kim di Solok Bukit Baru, Bukit Piatu.
Katanya, dia kini mengambil upah melipat baju sebagai sumber pendapatan sampingan bagi menyara dua anaknya selain bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan nafkah bekas suami sebanyak RM500 sebulan.
Menurutnya, sehingga hari ini anaknya sudah menjalani lima kali pembedahan VP Shunt bagi membuang lebihan cecair di kepala dan harapan untuk melihat anaknya sembuh tidak pernah padam.
Katanya, keadaan Anggun yang kini seberat 11.7 kilogram dengan ukuran lilit kepala mencecah 59 sentimeter masih memerlukan penjagaan rapi serta perhatian sepenuh masa.
“Setakat ini perkembangan Anggun semakin menunjukkan perubahan positif apabila sudah boleh melihat, memberi respons dan menggerakkan tangan kirinya.
“Doa saya setiap hari supaya dia boleh duduk sendiri dan uruskan diri apabila besar nanti,” katanya.
Katanya, mula mengambil upah melipat baju sejak Disember tahun lalu selepas cubaan menjana pendapatan melalui platform affiliate tidak mendapat sambutan.
Katanya, mengakui permintaan melipat baju di Melaka agak kurang memberangsangkan dan dalam sebulan kadang-kadang hanya dapat satu tempahan lipat kain sahaja.
“Namun selepas saya kongsi di Threads, ada juga yang hubungi dan harap lebih ramai dapat beri sokongan untuk saya terus kuat menyara Anggun.
“Kalau suatu hari nanti dia boleh urus diri sendiri, saya boleh bekerja semula walaupun gaji kecil asalkan dapat bantu tampung kehidupan kami,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 1699 6313 1470 atas nama Nur Asyikin Jaafar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






