London: Marc Marquez tidak dapat menahan emosi ketika menjelaskan kepada pasukan Ducati mengenai masalah saraf ‘rahsia’ yang didakwa menyebabkan dia kehilangan setengah saat setiap pusingan dalam saingan Kejohanan Dunia MotoGP musim ini.
Juara dunia MotoGP itu membuat pengakuan berkenaan selepas patah tulang kaki susulan kemalangan besar ketika perlumbaan pecut di Le Mans, Sabtu lalu.
Selepas disahkan tidak sihat akibat kecederaan kaki, Marquez turut mendedahkan dia sebenarnya sudah merancang untuk menjalani pembedahan bahu, sebelum tarikh pembedahan itu dipercepatkan supaya dilakukan serentak dengan pembedahan kakinya.
Dalam video terbaru Inside Ducati di YouTube, Marquez dilihat berada di garaj Ducati bersama beberapa anggota pasukan termasuk Gigi Dall’Igna dan ketua krew, Marco Rigamonti.
“Saya tak beritahu apa-apa…” kata Marquez sebelum terhenti seketika kerana terlalu emosi.
Dengan nada sebak, dia berkata: “Ada skru yang menyebabkan masalah saraf kepada saya. Kadang-kadang ia berlaku, kadang-kadang tidak.”
Apabila diberitahu sekurang-kurangnya dia sudah mengetahui punca masalah itu, Marquez menjawab: “Ya, saya tahu apa yang berlaku kepada saya. Tapi anda tak boleh menunggang motosikal dalam keadaan macam ini. Kadang-kadang okay, kadang-kadang tidak.”
“Itulah sebabnya pembedahan itu dijadualkan selepas GP Catalunya. Saya menunggang dengan satu setengah tangan saja. Mereka perlu keluarkan skru patah yang berlaku ketika kemalangan di Indonesia (2025).
“Mereka dapati skru itu sudah bergerak. Selepas Jerez, saya pergi buat pemeriksaan. Saya rasa ada sesuatu tak kena. Bila saya berada dalam posisi menunggang, skru patah itu. Selepas kemalangan di Indonesia, ia bergerak dan terkena saraf. Ia saraf yang saya gunakan untuk tiga jari dan seluruh lengan kanan.”
Katanya lagi, masalah itu menyebabkan dia kehilangan kekuatan ketika berlumba.
Juara dunia sembilan kali itu meraih dua kemenangan pecut musim ini, namun masih belum berjaya menamatkan perlumbaan Ahad di podium. Dia tiba di Perancis di tangga kelima keseluruhan kejuaraan dunia dan sudah ketinggalan 44 mata di belakang pendahulu, Marco Bezzecchi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






