Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (European Union) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
Tekankan kesalinghubungan mampan
Duta Besar Kesatuan Eropah ke ASEAN, Sujiro Seam menyatakan, TVET kini menjadi antara fokus utama dalam strategi Global Gateway EU yang menekankan kesalinghubungan mampan merangkumi sektor digital, tenaga, kesihatan, pengangkutan serta pendidikan dan penyelidikan.
“TVET kini berada di antara fokus utama strategi Global Gateway EU yang bertujuan mempromosikan kesalinghubungan mampan dalam sektor-sektor utama dan ia merangkumi bidang digital, pengangkutan, iklim, tenaga, kesihatan, serta bidang penyelidikan dan pendidikan yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Sujiro Seam (Kiri) menerima penghargaan daripada Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, JPPKK, Dr. Zamzam bin Mohd Walid
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Closing the Gap 2026 yang berlangsung di Pulau Pinang dari 12 hingga 14 Mei, yang menghimpunkan wakil kerajaan, institusi TVET dan sektor industri dari seluruh ASEAN bagi memperkukuh kerjasama pendidikan dan industri.
Perluas model kerjasama antara institusi pendidikan & industri
Difahamkan, bengkel berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama program SCOPE-HE EU-ASEAN, sebagai usaha memperluaskan model kerjasama berkesan antara institusi pendidikan dan industri.
Peserta-peserta Bengkel Closing the Gap 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Mei di Pulau Pinang yang menghimpunkan wakil kerajaan, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta sektor swasta dari seluruh ASEAN
Sujiro turut menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan tersebut bagi memastikan sistem TVET sentiasa relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja yang sentiasa berubah.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-EU 2023–2027 dalam usaha memperdalam kerjasama TVET melalui perkongsian amalan terbaik serta peningkatan standard latihan di peringkat serantau.
Sebelum ini, bengkel pertama diadakan di Bangkok pada 2024 diikuti Phnom Penh pada 2025, dengan fokus kepada penyelesaian cabaran industri, manakala hasil perbincangan dijangka membentuk peta hala tuju serantau menjelang bengkel kemuncak pada 2027 selaras Pelan Kerja Majlis TVET ASEAN 2021–2030.





