Selepas jalani rawatan, Woods kembali ke Florida

Selepas jalani rawatan, Woods kembali ke Florida

Selepas jalani rawatan, Woods kembali ke Florida


Miami: Bintang golf dunia, Tiger Woods dilaporkan kembali ke Florida enam minggu selepas hakim membenarkannya mendapatkan rawatan di luar negara susulan penahanannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.

Portal hiburan TMZ menyiarkan gambar Woods, 50, turun dari jet peribadinya di lapangan terbang antarabangsa Palm Beach semalam.

Juara kejohanan major 15 kali itu dipercayai menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Switzerland.

Woods mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memandu di bawah pengaruh selepas kemalangan jalan raya pada 27 Mac lalu di Florida, apabila kenderaannya melanggar sebuah trak yang menarik treler sebelum terbalik ketika cuba memotong di jalan kawasan perumahan.

Pihak berkuasa mendapati dia tidak mengambil alkohol tetapi percaya keadaannya ketika itu terjejas.

Woods yang pernah menjalani beberapa pembedahan belakang dan rawatan kecederaan serius kaki susulan kemalangan kereta di California pada 2021, didapati memiliki dua pil mengandungi ubat tahan sakit opioid hydrocodone di dalam poketnya.

Dia enggan menjalani ujian air kencing sebelum didakwa, dipenjarakan dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Selasa lalu, seorang hakim Florida memutuskan rekod ubat preskripsi Woods boleh diakses pihak pendakwa raya, namun mengarahkan ia dirahsiakan daripada umum atas faktor privasi dan tidak boleh didedahkan menerusi undang-undang rekod terbuka Florida.

Woods yang memberitahu polis dia sedang melihat telefonnya ketika kemalangan berlaku berkata selepas penahanannya dia akan “berehat untuk satu tempoh bagi mendapatkan rawatan dan memberi tumpuan kepada kesihatan.”

Selepas memberi bayangan akan kembali beraksi pada Masters bulan lalu – kejohanan yang pernah dimenanginya lima kali – Woods tidak hadir di Augusta National, manakala PGA Amerika turut mengumumkan dia menarik diri daripada pertimbangan sebagai kapten Piala Ryder Amerika Syarikat 2027.

Jim Furyk yang dilantik sebagai kapten berkata pada Kejuaraan PGA minggu ini di Aronimink, Woods mungkin masih mempunyai peranan bersama pasukan itu, kemungkinan sebagai penasihat, walaupun dia belum berbincang dengan Woods mengenainya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top