MFL guna pengadil luar negara aksi final Piala Malaysia

MFL guna pengadil luar negara aksi final Piala Malaysia

MFL guna pengadil luar negara aksi final Piala Malaysia


Perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil akan berlangsung pada minggu depan. Gambar hiasan

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) akan menggunakan khidmat pengadil dari luar negara bagi mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada minggu depan.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memilih pengadil terbaik bagi mengendalikan saingan edisi ke-99 itu.

Menurutnya, permohonan tersebut melibatkan empat pengadil luar negara, termasuk dua pembantu pengadil dan seorang pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Keputusan menggunakan kepakaran pengadil luar negara dibuat sebagai langkah memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik, selain menjamin integriti serta kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.

“Kemuncak aksi final Piala Malaysia sememangnya perlawanan berprofil tinggi. Dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia akan meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ab Ghani, kehadiran pengadil luar negara itu juga dilihat sebagai platform pertukaran kepakaran yang membolehkan pengadil tempatan menimba ilmu dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan domestik.

Jelas beliau, keputusan tersebut juga diambil susulan cadangan yang dibangkitkan dalam sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lalu.

“MFL sentiasa mendengar cadangan rakan kongsi untuk penambahbaikan dalam semua aspek pengelolaan perlawanan. Namun, bagi penggunaan pengadil luar, MFL perlu membuat pertimbangan teliti memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam saingan domestik kerana kita pernah menggunakan khidmat pengadil dari Jepun bagi mengadili final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top