'Saya tak malu jadi orang buta, Allah dah bagi hadiah dekat saya'

'Saya tak malu jadi orang buta, Allah dah bagi hadiah dekat saya'


am@hmetro.com.my

Melaka: “Kalau Allah beri peluang saya melihat semula pun, saya tak mahu sebab takut dosa mata.”

Demikian kata-kata menyentuh hati seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan, Muhammad Al Fatih Ahmad Mujahidin, 10, yang kini mula dikenali ramai menerusi bakat nyanyiannya.

Ibunya, Noraszira Mohd Noh, 40, berkata, walaupun anaknya dilahirkan buta namun murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Keroh itu membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk menyerlah apabila mampu menghiburkan orang ramai menerusi persembahan nyanyian.

Menurutnya, anak bongsu daripada enam beradik itu mula menunjukkan minat dalam bidang nyanyian sejak Tahun Satu apabila sering membuat persembahan di sekolah.

Katanya, bakat Muhammad Al Fatih mula dikesan guru-guru sebelum diberi peluang menyertai pertandingan nyanyian anjuran pihak sekolah serta jabatan kerajaan.

“Cikgu banyak beri galakan kepada Fatih, saya pesan kepada guru, kalau ada apa-apa aktiviti atau pertandingan yang boleh Fatih ceburi, tolong babitkan dia supaya dia aktif dan tidak rasa rendah diri.

“Dulu kami risau memikirkan bagaimana masa depannya kerana dalam keluarga tiada yang mengalami masalah penglihatan, lebih-lebih lagi kami tak ada pengalaman membesarkan anak seperti ini,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh.

Noraszira berkata, dia dan suami, Ahmad Mujahidin Mohd Shafie, 40, mengakui bukan mudah menerima ujian itu, namun yakin setiap dugaan mempunyai hikmah serta perancangan Allah yang indah.

Katanya, Muhammad Al Fatih dilahirkan dengan masalah pada kornea mata selain pernah mengalami kebocoran pada bahagian kanan mata dan memerlukan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malah sehingga sekarang masih berulang-alik ke hospital itu.

“Ketika suami azankan Fatih selepas dia dilahirkan, kami perasan keadaan matanya berbeza.

“Doktor maklumkan saraf mata kanannya masih hidup, tetapi tidak boleh melihat dan sebelum ini dia hanya nampak cahaya serta warna, namun sekarang tidak lagi,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Al Fatih seorang yang mudah menghafal selain cepat belajar termasuk mengenali kod serta pergerakan di sekolah walaupun tidak dapat melihat.

“Pergerakan dia kadang-kadang ada juga terjatuh atau terhantuk, tetapi dia cepat belajar menyesuaikan diri.

“Dulu ada budak-budak yang tidak faham dan bertanya Al Fatih ni buta ke, namun lama-kelamaan kami belajar untuk kuat dan menerima semua itu dengan reda,” katanya

Noraszira berkata, setiap kali Muhammad Al Fatih naik ke pentas, dia berasa sebak kerana suatu ketika dahulu sering tertanya-tanya bagaimana masa depan anaknya disebabkan kekurangan itu.

“Sekarang dia boleh berdiri di atas pentas dan menghiburkan ramai orang dengan menyanyi beberapa lagu termasuk lagu Dayang Nurfaizah, ‘Umpan Jinak Di Air Tenang’ dan ‘Nurlela’ nyanyian Haziq Rosebi.

“Bagi saya itu hadiah paling besar daripada Allah,” katanya.

Beliau turut berharap ibu bapa yang mempunyai anak OKU dapat menerima kenyataan dan tidak malu menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan di PPKI.

Sementara itu, Muhammad Al Fatih yang bercita-cita menjadi pakar motivasi berkata, dia mahu terus menyanyi dan memberi semangat kepada orang lain.

“Saya tak malu jadi orang buta, Allah dah bagi hadiah dekat saya,” katanya ringkas.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top