Kementerian Pengajian Tinggi menempelak kenyataan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak tepat dan tersasar daripada dasar pendidikan negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan dan tidak mencerminkan pendekatan sebenar kerajaan dalam menangani isu akses pendidikan tinggi.
Beliau menegaskan, kerajaan ketika ini mengamalkan pendekatan yang seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi tanpa menjejaskan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata. Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.
“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu. Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini.
“Dalam hal ini, kerajaan perlu mempertahankan prinsip dan dasar nasional yang telah sekian lama menjadi asas perpaduan serta identiti negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Dong Zong melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Jemaah Menteri yang didakwa bersifat samar-samar serta mengandungi sekatan tertentu sehingga dianggap sebagai langkah separuh hati.
Malah, pertubuhan itu menyifatkan pengumuman berkenaan jauh daripada harapan masyarakat Cina serta gagal mencerminkan prinsip keadilan pendidikan.
Mengulas lanjut, Zambry menegaskan bahawa keputusan kerajaan membenarkan calon UEC memohon ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina adalah jelas dan berlandaskan syarat yang ditetapkan.

Artikel lain: 80 peratus pelajar UEC ambil SPM! Tak jejas kedudukan Bahasa Melayu – Anthony Loke
Menurutnya, syarat seperti kepujian dalam Bahasa Melayu dan lulus Sejarah SPM bukan satu bentuk ketidakadilan atau kelemahan sistem, sebaliknya pendekatan yang inklusif dan berprinsip.
“Dalam hubungan ini, ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak dikompromi.
“Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan perlu dilihat sebagai medium membina titik temu nasional dalam masyarakat majmuk, bukan sekadar memenuhi tuntutan kelompok tertentu.
“Dong Zong juga perlu memahami universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara. Oleh itu, kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.
“Kerajaan kekal komited untuk memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti. Namun, inklusif tidak bermaksud kerajaan perlu mengorbankan dasar asas negara. Keterbukaan juga tidak bermaksud negara perlu mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka,” katanya.
Sumber: FB Kementerian Pendidikan Tinggi






