Los Angeles: Dua jet pejuang bertembung di udara ketika melakukan demonstrasi di wilayah barat laut Idaho pada Ahad, dengan juruterbang dilaporkan terselamat selepas berjaya menggunakan payung terjun untuk keluar dari pesawat, lapor media Amerika Syarikat (AS).
Menurut kenyataan di laman rasmi Pertunjukan Udara Gunfighter Skies, “satu insiden membabitkan pesawat berlaku di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home” yang terletak kira-kira dua batu (3.22 kilometer) di barat laut pangkalan berkenaan.
“Pasukan penyelamat kecemasan sudah berada di lokasi kejadian, siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan sebaik diperoleh,” menurut kenyataan itu.
Rangkaian berita tempatan CBS News menerusi KOMO melaporkan kesemua empat kru berjaya menyelamatkan diri daripada dua jet pejuang jenis EA-18 milik Tentera Laut AS itu.
Video tular di media sosial menunjukkan kedua-dua jet bertembung sebelum berpusing di udara dan terhempas ke tanah, sekali gus mencetuskan letupan dan kepulan asap hitam tebal. Dalam rakaman sama, empat payung terjun dilihat melayang turun.
Jurucakap Armada Pasifik Tentera Laut AS, Komander Amelia Umayam berkata, jet EA-18G Growler itu berpangkalan di Whidbey Island, Washington.
Sementara itu, NBC News melaporkan nahas itu menyebabkan pertunjukan udara itu dibatalkan selain pergerakan keluar masuk di pangkalan berkenaan turut disekat ketika pasukan kecemasan mengendalikan lokasi nahas dan menjalankan siasatan.
Usaha mendapatkan ulasan lanjut daripada pihak pangkalan setakat ini masih belum berhasil.
© New Straits Times Press (M) Bhd






