mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon keturunan Cina, Zoee Tan, 49, mengakui tidak kecewa apabila kurang dikenali peminat biarpun sudah 30 tahun terbabit dalam industri seni tanah air.
Zoee atau nama sebenarnya, YingLi Tan yang pernah menyertai pertandingan ratu dan dan bergelar model berkata, dia menceburi lakonan sejak kecil kerana minat yang mendalam.
“Saya sebenarnya terbabit dengan pelbagai drama tak kira drama Melayu dan Cina. Drama-drama saya banyak disiarkan menerusi saluran RTM. Selepas itu perlahan-lahan saya berlakon filem pula.
“Malah, saya juga sudah berlakon dengan produksi China dan Thailand dan diterima baik di sana. Mungkin disebabkan jarang berada di Malaysia, peminat kurang kenal saya.
“Tapi saya tak ambil hati sangat perkara ini kerana bukan semua orang kenal kita. Apa pun saya dah cuba yang terbaik. Kalau ada tawaran berlakon drama, saya buat saja,” katanya kepada Harian Metro.
Zoee yang mempunyai produksi sendiri, ZLK Production sejak tujuh tahun lalu berkata, dia gembira kerana syarikatnya kini berjaya menyiapkan filem pertama berjudul Nyonya Ronggeng.
“Filem ini dijangka ditayangkan pada tahun ini juga. Ia sebuah fiksyen dalam Bahasa Malaysia dan penerbitnya ialah Raja Mukhriz di mana saya sendiri turut berlakon.
“Saya jadi Nyonya Ronggeng. Saya bukanlah gila kuasa nak berlakon dan terpulanglah cara mana orang nak fikir. Saya jadi penerbit kerana nak bawa watak yang tak pernah dibuat sebelum ini.
“Filem ini menggabungkan pelakon pelbagai kaum. Ia berlatar tahun 40-an hingga 70-an dengan penggambaran dibuat di Pulau Pinang, Cameron Highlands dan Kuala Lumpur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





