Cabaran bina akhlak penghafaz al-Quran

Cabaran bina akhlak penghafaz al-Quran


MASYARAKAT masa kini amat menghormati dan menyanjung tinggi golongan penghafaz al-Quran atau disebut juga sebagai hafiz dan huffaz.

Mereka dihormati, disanjung dan menjadi simbol harapan umat Islam dalam melahirkan generasi yang dekat dengan agama dan kalamullah.

Bagaimanapun, kebelakangan ini masyarakat dikejutkan dengan pelbagai isu melibatkan segelintir pelajar tahfiz yang terlibat dalam masalah disiplin, akhlak dan sosial.

Persoalannya, adakah menghafaz al-Quran sahaja sudah cukup untuk membentuk akhlak manusia?

Guru Bidang Bahasa & Pengajian Islam, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, Perak, Ustaz Kamarul Azuan Shah Mohd Mashuti menjelaskan, hakikatnya persoalan tersebut perlu dilihat secara matang dan adil.

“Menghafaz al-Quran sememangnya satu kemuliaan besar namun proses membentuk akhlak manusia memerlukan perjalanan tarbiah yang panjang, konsisten dan menyeluruh.

“Hafazan semata-mata tidak mencukupi jika jiwa tidak benar-benar dibimbing untuk memahami, menghayati dan hidup bersama nilai-nilai al-Quran,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.

USTAZ KAMARUL AZUAN SHAH

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus.” (Surah al-Israk: 9)

Ujarnya, ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau dihafaz, tetapi menjadi petunjuk kehidupan yang membentuk cara berfikir, bertindak dan berakhlak.

Tekanan, cabaran hari ini

“Malangnya sebahagian masyarakat hari ini terlalu menumpukan kepada pencapaian hafazan sehingga terlupa bahawa tujuan utama al-Quran diturunkan adalah untuk membentuk manusia yang bertakwa dan berjiwa ihsan.

“Tidak dinafikan ramai pelajar tahfiz hari ini berdepan tekanan yang besar seperti jadual pembelajaran yang padat, sasaran hafazan yang tinggi serta harapan ibu bapa dan institusi yang kadangkala memberi tekanan emosi kepada pelajar.

“Ada pelajar menghafaz demi memenuhi impian keluarga, ada yang mengejar pencapaian akademik dan ada yang terlalu fokus kepada bilangan juzuk sehingga kurang ruang untuk memahami makna dan penghayatan ayat al-Quran yang dihafaz,” jelasnya.

Lebih membimbangkan katanya, pelajar tahfiz hari ini juga hidup dalam dunia digital yang sangat mencabar.

“Telefon pintar, media sosial, hiburan tanpa batasan serta pengaruh budaya moden memberi kesan besar kepada pembentukan emosi dan identiti remaja.

“Walaupun mereka menghafaz al-Quran, mereka tetap manusia biasa yang sedang melalui fasa remaja dengan pelbagai cabaran jiwa dan perasaan,” hurainya.

Akhlak perlu proses tarbiah

Menyambung hujahnya, beliau menjelaskan, masyarakat sering terlupa bahawa seseorang yang menghafaz al-Quran tidak secara automatik menjadi sempurna.

MEDIA sosial antara cabaran utama yang perlu dihadapi pelajar aliran tahfiz. Foto Canva

MEDIA sosial antara cabaran utama yang perlu dihadapi pelajar aliran tahfiz. Foto Canva

“Hafazan merupakan satu proses memelihara ayat-ayat ALLAH SWT dalam ingatan, tetapi pembentukan akhlak memerlukan pendidikan hati, bimbingan rohani dan suasana tarbiah yang berterusan.

“Oleh sebab itu ada individu yang mampu membaca dan menghafaz al-Quran dengan baik tetapi masih bergelut mengawal emosi, menjaga adab dan membina hubungan sesama manusia,” jelasnya lagi.

Ujarnya, hubungan dengan al-Quran tidak boleh terbatas pada bacaan dan hafalan sahaja, malah ia perlu ditadabbur, difahami dan dihayati sehingga mampu melembutkan hati manusia.

“Tanpa penghayatan, hafazan mungkin hanya tinggal di lisan, tetapi belum benar-benar meresap ke dalam jiwa,” tegasnya.

Dalam masa sama katanya, institusi pendidikan tahfiz juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam membina keseimbangan antara akademik, hafazan dan pembangunan insan.

“Pendidikan tahfiz tidak boleh terlalu berorientasikan peperiksaan atau pencapaian semata-mata.

“Pelajar juga perlu diberikan ruang untuk pembangunan emosi, komunikasi, adab sosial dan pengukuhan spritual secara sihat,” sambungnya.

KELUARGA dan masyarakat turut memainkan peranan masing-masing dalam membina akhlak pelajar tahfiz.

KELUARGA dan masyarakat turut memainkan peranan masing-masing dalam membina akhlak pelajar tahfiz.

Menurutnya, guru juga bukan sekadar penyemak hafazan tetapi perlu menjadi murabbi yang membimbing jiwa pelajar.

“Rasulullah SAW sendiri mendidik para sahabat dengan penuh kasih sayang, hikmah dan sentuhan hati.

“Baginda tidak hanya mengajar al-Quran, tetapi membina manusia seperti sepotong hadis, Aisyah RA ketika ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab: ‘Akhlak Baginda ialah al-Quran’,” ujarnya.

Ustaz Kamarul Azuan Shah juga menasihatkan masyarakat agar berhenti meletakkan harapan yang terlalu sempurna terhadap golongan hafiz al-Quran sehingga setiap kesilapan kecil terus dijadikan bahan kecaman dan penghinaan.

“Mereka juga manusia yang sedang belajar memperbaiki diri. Kadang-kadang tekanan masyarakat yang terlalu cepat menghukum menyebabkan sebahagian pelajar tahfiz mengalami tekanan jiwa dan hilang keyakinan diri.

“Apa yang lebih penting ialah ahli keluarga, pihak sekolah dan masyarakat bersama-sama membina suasana yang mendekatkan generasi muda kepada ruh al-Quran.

“Rumah perlu menjadi tempat lahirnya kasih sayang dan tarbiah. Sekolah pula perlu menjadi tempat membina adab dan keperibadian, bukan sekadar pusat mengejar pencapaian,” jelasnya.

Dalam masa sama katanya, masyarakat perlu menjadi pendukung yang memberi bimbingan, bukan hanya menunggu ruang untuk menghukum.



Source link

OR

Scroll to Top