Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran di Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Sudah mulakan siasatan
Memetik laporan daripada Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar menyatakan pihaknya menerima sebanyak 28 laporan polis dari seluruh negara berhubung hantaran berkenaan.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima 28 laporan polis dari seluruh negara,” ujarnya.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya lagi.
Semua pihak berkaitan akan dipanggil
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan semua pihak berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat termasuk Tony Pua sendiri.
“Sudah tentu, kita akan memanggil semua pihak yang terbabit bagi membantu siasatan,”
Sebelum ini, isu berkenaan tercetus susulan titah Sultan Selangor yang menyarankan wakil rakyat tertentu hadir ke Dataran Selangor bagi menghayati Rukun Negara serta menghormati institusi diraja.
Susulan itu, Tony Pua memuat naik kenyataan di Facebook yang memperincikan pandangan beliau mengenai sistem Raja Berperlembagaan dan skop kuasa raja dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan tersebut kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin politik yang membidas pandangan berkenaan.
Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)








