Semua peserta GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia dalam proses pengusiran

Semua peserta GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia dalam proses pengusiran


PETALING JAYA: Semua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis di perairan antarabangsa dibebaskan dari Penjara Ktziot dan kini dalam proses pengusiran.

Pusat Undang-undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima pengesahan rasmi daripada Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) dan pegawai kerajaan bahawa semua aktivis GFS 2.0 telah dibebaskan hari ini.

Katanya, semua mereka kini dalam perjalanan untuk proses pengusiran keluar dari Israel.

“Majoriti peserta sedang dipindahkan ke Lapangan Terbang Ramon untuk diterbangkan keluar dari negara itu,” katanya hari ini.

Menurut badan guaman itu, pihaknya kini sedang memantau secara dekat proses pemindahan tersebut bagi memastikan semua peserta dihantar pulang dengan selamat dan tanpa sebarang kelewatan.

Pada masa sama, Adalah menegaskan bahawa tindakan Israel menahan peserta GSF 2.0 dalam misi ke Gaza itu adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Adalah menegaskan bahawa keseluruhan operasi itu daripada pintasan yang didakwa menyalahi undang-undang di perairan antarabangsa hinggalah kepada penyeksaan sistematik, penghinaan, dan penahanan sewenang-wenangnya terhadap aktivis aman merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Adalah mendedahkan bahawa pihak berkuasa rejim Zionis bertindak kejam terhadap peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini ditahan di Penjara Ktziot termasuk penggunaan taser secara kerap selain penderaan fizikal dan mental.

Katanya, pihaknya menerima sejumlah besar aduan mengenai keganasan melampau yang memperlihatkan corak baharu penderaan fizikal disengajakan oleh pihak berkuasa Israel terhadap peserta GSF 2.0 ketika melawat mereka di Pelabuhan Ashdod, semalam.

“Keganasan tersebut mengakibatkan kecederaan serius dan meluas, termasuk sekurang-kurangnya tiga individu yang dimasukkan ke hospital sebelum dibebaskan. Peguam turut merekodkan puluhan peserta yang disyaki mengalami patah tulang rusuk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.

“Laporan juga menunjukkan penggunaan taser secara kerap terhadap peserta, selain kecederaan akibat tembakan peluru getah semasa flotila dipintas dan ketika mereka dipindahkan ke bot tentera,” katanya.

Menurut badan guaman itu, aktivis yang ditahan turut mengalami keganasan melampau di atas kapal serta sepanjang proses pemindahan antara bot dan pelabuhan.

“Selain itu, pihak berkuasa memaksa aktivis berada dalam posisi tekanan fizikal ketika dibawa bergerak di sekitar pelabuhan, mereka dipaksa berjalan dalam keadaan membongkok sepenuhnya sambil belakang mereka ditekan dengan kasar oleh pengawal.

“Peserta juga dipaksa duduk bertinggung di atas lutut dalam bot untuk tempoh yang lama,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top