Arif-Roy King bangkit tepat pada masanya di Masters Malaysia

Arif-Roy King bangkit tepat pada masanya di Masters Malaysia


Beregu lelaki negara, Arif Junaidi dan Yap Roy King layak ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan gandingan dari Amerika Syarikat (AS) Chen Zhi Yi dan Presley Smith dengan 21-15,21-19 pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Bernama

PASANGAN beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King akhirnya menarik nafas lega apabila kembali menemui sentuhan terbaik dengan melangkah ke separuh akhir kejohanan Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas gandingan ranking ke-16 dunia berkenaan bergelut mencari konsistensi sejak awal musim, termasuk beberapa penyingkiran awal yang menjejaskan keyakinan mereka.

Pilihan kelima kejohanan itu menempah tiket ke kelompok empat terbaik selepas menundukkan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 21-15, 21-19 dalam tempoh 33 minit pada aksi suku akhir.

Lebih manis, pencapaian itu menjadi separuh akhir pertama mereka pada tahun ini dan kali kedua berjaya dilakukan di Masters Malaysia selepas turut mara ke peringkat sama pada edisi 2024.

Wan Arif mengakui kejayaan itu cukup penting buat mereka memandangkan prestasi pasangan berkenaan sebelum ini masih belum berada pada tahap diharapkan.

“Kalau ikutkan keputusan tahun ini, kami banyak terkandas awal dan belum pernah mara ke suku akhir. Sekarang sudah masuk bulan lima, jadi pencapaian ini memang beri semula keyakinan untuk kejohanan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Roy King berkata mereka turun tanpa tekanan tinggi dan tidak menjangka mampu melangkah sejauh ini pada kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

Di separuh akhir esok, Arif-Roy King bertemu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen selepas pasangan Denmark itu menundukkan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi straight set 21-18, 21-14.

Kejohanan yang berlangsung sehingga 24 Mei itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.98 juta).



Source link

OR

Scroll to Top