Penyanyi, Ina Naim, 42, menegaskan dia sentiasa menekankan didikan agama kepada anak-anaknya, khususnya Hadie Elfardie, agar tidak terlalu terbuai dengan populariti dan pujian yang diterima.
Jangan tinggal solat

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, pendekatan itu dibuat kerana dia tidak mahu Hadie terlalu terkesan sekiranya suatu hari nanti berdepan kejatuhan dalam kehidupan.
“Saya maklumkan kepada dia, disiplin dan tanggungjawab harus ada, bermula daripada bawah. Jangan selesa berada di atas kerana parah bila jatuh.
“Saya didik anak, buat daripada bawah. Waima melakukan kerja seperti cuci lantai atau bilik air, bermula dari bawah. Dan dia faham perkara itu, Alhamdulillah,” kata Ina, baru-baru ini.
Menurut Ina lagi, dia turut menekankan kepentingan menjaga solat agar anaknya sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT.
“Hadi tidak pernah berjauhan dengan saya. Berlainan masa dia sedang belajar, kita faham kawan-kawan dia macam mana. Tapi sekarang ini apabila tinggal sendiri, walaupun bersama pembantu peribadi, dia tidak menjaga Hadie sepenuhnya.
“Itu yang membuatkan saya risau. Tapi Insya-Allah, saya yakin dan percaya dengan Hadi. Saya selalu pesan kepada dia, jaga solat, Insya-Allah, Allah akan jaga. Selainnya di luar kawalan kita,” kongsinya.

Dalam masa sama, Ina turut meluahkan kebimbangan terhadap kemungkinan anaknya berdepan fitnah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa melayan peminat dalam keadaan penat.
Artikel lain: Rumah dah ada peti ais, suami baharu sediakan semua – Ina Naim
“Saya berkata begitu kerana saya pernah berada di tempatnya, mengalami situasi yang dialaminya. Akan timbul fitnah apabila kita tidak melayan peminat disebabkan kita penat atau keletihan.
“Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang semua dihujung jari. Saya takut dia tak layan peminat sebab penat dan letih, nanti akan timbul masalah lain kepada dia.
“Sebab itu saya selalu pesan kepada dia supaya jaga diri dan akhlak. Ingat didikan ayahnya, Mohd Suhaimi Mohd Saad, Insya-Allah. Saya serah semua kepada Allah, mudah-mudahan Allah lindungi anak saya,” tambahnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia (Al Faizal Abdul Karim)






