Herry nampak peningkatan beregu muda, tegur Aaron baling raket

Herry nampak peningkatan beregu muda, tegur Aaron baling raket


aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Prestasi beregu lelaki negara di Masters Malaysia kali ini mungkin tidak sebaik tahun lalu, namun ketua jurulatihnya, Herry Iman Pierngadi tetap melihat perkembangan positif terutama membabitkan corak permainan pemain muda negara.

Herry mengakui pencapaian keseluruhan kali ini tidak memuaskan apabila tiada wakil negara di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mara ke final selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Arif Junaidi-Yap Roy King terkandas di separuh akhir.

Menurutnya, keputusan itu jelas merosot berbanding edisi lalu yang menyaksikan final sesama sendiri membabitkan wakil Malaysia iaitu pertemuan antara Man Wei Chong-Tee Khai Wun dan Aaron-Wooi Yik sebelum Wei Chong-Kai Wun muncul juara.

“Kalau dari keputusan memang hasil tak baiklah. Tahun lalu lebih bagus sebab ada final sesama Malaysia, tahun ini hanya sampai separuh akhir.

“Tapi saya masih dapat melihat peningkatan daripada beberapa pasangan muda terutama dari segi corak permainan dan pemahaman taktikal di gelanggang,” kata jurulatih dari Indonesia itu.

Katanya, pasangan seperti Arif-Roy King, Kang Khai Xing-Aaron Tai mula memperlihatkan perkembangan yang diharapkannya walaupun masih gagal mencatat keputusan memberangsangkan.

“Dari cara mereka bermain memang ada kemajuan dibanding tahun lalu. Apa yang saya harapkan sudah mula nampak,” katanya.

Dalam pada itu, Herry turut menegur Aaron-Wooi Yik yang dilihat gagal mengawal emosi ketika aksi separuh akhir sehingga menjejaskan rentak permainan mereka.

Menurutnya, pasangan nombor dua dunia itu terlalu mahu menang sehingga hilang kawalan emosi ketika Sze Fei-Izzuddin tampil lebih tenang dan yakin sepanjang perlawanan.

“Saya nampak Aaron dan Wooi Yik sedikit gementar serta terlalu mahu menang sangat.

“Mungkin sebab itu mereka kurang boleh kawal emosi dan kita nampak sampai Aaron baling raket di gelanggang,” katanya.

Tambah Herry, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana Aaron-Wooi Yik adalah pemain senior serta menjadi contoh kepada pemain muda negara.

Mengulas lanjut, beliau mengakui Sze Fei-Izzuddin tampil lebih berkualiti dan berjaya menyerap segala tekanan termasuk mematahkan serangan bertali arus daripada pasangan negara.

Pada masa sama, Herry menegaskan fokus utama skuad beregu lelaki negara musim ini sebenarnya terarah kepada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia yang dianggap sasaran terbesar tahun ini.

Katanya, sasaran utama adalah memastikan pemain berada pada tahap terbaik terutama bagi memburu pingat emas di Sukan Asia nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top