KANGAR: Pasukan VAT69 A muncul johan kategori terbuka antarabangsa Kejohanan Tarik Tali Kelab Antarabangsa 2026 pada Festival Rakyat 3.0 bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-83 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
Menerusi kemenangan itu, pasukan VAT69 A merangkul hadiah keseluruhan kejohanan berupa wang tunai berjumlah RM30,000 iaitu hadiah kemenangan cukup tinggi ditawarkan.
Tempat kedua dimenangi pasukan Blue Tiger yang membawa pulang wang tunai RM8,000 manakala tempat ketiga diraih pasukan Selfire dengan meraih hadiah wang tunai RM5,000.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, penganjuran kejohanan kali ini berlangsung meriah dengan penyertaan 24 kelab tarik tali dari dalam dan luar negara.
“Penglibatan pasukan bertanding dalam kejohanan ini sangat memberangsangkan dari seluruh negara malah ada juga pasukan dari Brunei turut sama bersaing merebut hadiah kejohanan yang paling tinggi.
“Menerusi penganjuran tahun ini, terdapat tiga kategori dipertandingkan melibatkan Terbuka Antarabangsa, Tradisional dan Tertutup Perlis,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang di sini semalam.
Abu Bakar berkata, kejohanan tersebut juga akan diperhebatkan lagi tahun hadapan memandangkan penganjuran kali ini turut bertembung dengan kejohonan antarabangsa berlangsung di Belanda.
Katanya, hadiah kejohanan juga berkemungkinan dinaikkan lagi sekiranya sambutan diterima selepas ini lebih menggalakkan.
“Ini cukup penting bagi menaikkan lagi semangat peserta yang mengikuti kejohanan ini sekali gus merancakkan lagi penganjurannya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kepada seluruh persatuan tarik tali di negara ini untuk mengubah corak penganjuran kejohanan pada waktu malam dengan suasana lebih sejuk dan tidak begitu panas.
Abu Bakar juga mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memastikan kestabilan sukan tarik tali agar dianjurkan tanpa sebarang masalah pada masa hadapan.
“Segala permasalahan timbul selepas ini perlu diselesaikan dengan segera oleh pihak berkaitan dalam memastikan kestabilan sukan tarik tali ini tidak terjejas,” katanya.-UTUSAN






