KRW FC sedia beraksi dalam saingan Liga Super musim depan apabila pasukan itu layak secara merit selepas menduduki tangga keempat di Liga A1 Semi Pro.
KELANTAN Red Warrior FC (KRW FC) sedia beraksi dalam saingan Liga Super musim depan apabila pasukan itu layak secara merit selepas menduduki tangga keempat di Liga A1 Semi Pro.
Presidennya, Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu ‘lampu hijau’ Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama ada layak beraksi atau tidak dalam saingan itu.
“Setakat ini bersedia dan akan buat keputusan apabila perkara itu diumumkan nanti. Jadi…itu memang harapan kita (bermain di Liga Super).
“Secara peribadi saya merasakan begitu (bermain di Liga Super), bukanlah muda bermain di Liga A1 Semi Pro ini dan layak ke Liga Super. Kalaulah…peluang itu ada kita tidak menolak dan berhasrat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Kelantan Red Warrior FC di sini pada malam Ahad.
Turut berlangsung majlis penyerahan kasut emas kepada penyerang KRW FC Emmanual Mbarga yang muncul sebagai penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro musim ini.
Menurut beliau, perancangan ke saingan Liga Super sudah dimulakan sejak dari awal dan ia bukan sesuatu yang mudah.
Katanya, pelbagai cabaran akan dihadapi dan pihak pengurusan KRW FC sudah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hala tuju pasukan.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, KRW FC masih lagi memerlukan khidmat Irfan Bakti Abu Salim untuk mengendali pasukan jika beraksi di saingan Liga Super nanti.
Ujarnya, KRW FC akan melakukan perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut.
“Irfan Bakti mempunyai strategi tertentu dan saya amat yakin pada beliau. Jadi, saya serahkan pada dia untuk membentangkan sama ada dari segi kejurulatihannya, pemain dan sebagainya perlu rombakan atau sebaliknya.
“Jika ada….kita akan lakukan,” ujarnya.






