Juara beregu remaja dunia mahu ikuti jejak Aaron-Wooi Yik

Juara beregu remaja dunia mahu ikuti jejak Aaron-Wooi Yik



saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai berharap dapat mengikut jejak langkah seperti beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Khai Xing-Aaron menepati ramalan apabila menewaskan pilihan kedua kejohanan dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi 21-18, 15-21, 21-18 pada perlawanan final Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China, Ahad lalu untuk meraih gelaran juara dunia.

Khai Xing berkata, secara peribadi dirinya amat meminati Aaron-Wooi Yik dan menjadikan bekas juara dunia itu sebagai inspirasi untuk meraih kejayaan di Nanchang.

“Mereka mempunyai tahap persefahaman yang baik sama ada di dalam atau di luar gelanggang. Kalau ada masalah, mereka selalu bincang secara baik. Saya rasa corak permainan kami sama dengan mereka.

“Kadangkala agresif melakukan serangan dan juga bertahan. Harap dalam tempoh beberapa tahun lagi kami dapat menjadi seperti mereka,” katanya.

Jelas Khai Xing, dia serta Aaron sudah bersedia untuk menyertai pasukan senior sekali gus bersaing dengan barisan pemain lain.

“Saya rasa kalau lebih cepat kami sertai pasukan senior, ia lebih bagus,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Nanchang, malam tadi.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang percaya Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mempunyai perancangan terbaik untuk Khai Xing-Aaron.

“Saya rasa mereka pasti kekal digandingkan bersama dan Rexy pasti ada perancangan terbaik untuk menjadikan mereka pemain lebih baik pada masa akan datang terutama membentuk kematangan dalam permainan,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bergelar juara dunia remaja dalam acara beregu lelaki adalah pada 2011 menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi.

Sejak dipertandingkan pada 1992, skuad remaja negara berjaya meraih tujuh gelaran bermula dengan gandingan Jeremy Gan-Chan Chong Ming pada edisi 1996.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top