hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Operator Menara Kuala Lumpur, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), menyasarkan sekurang-kurangnya sejuta pengunjung tahun ini bersandarkan pelbagai acara pelancongan dan pembukaan tarikan baharu sempena sambutan ulang tahun ke-30 menara berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan peningkatan positif sektor pelancongan sejak awal tahun ini.
Katanya, pihaknya pada awalnya menetapkan sasaran satu juta pengunjung, namun kini optimis angka itu mampu meningkat lebih satu juta pelawat menjelang hujung tahun.
“Setakat ini kita nampak sasaran itu berada pada landasan yang baik untuk dicapai.
“Tahun lalu Menara KL menerima kira-kira sejuta pengunjung dan tahun ini kita yakin angka itu boleh ditingkatkan.
“Meskipun terdapat cabaran geopolitik global yang memberi sedikit kesan kepada ketibaan pelancong dari Eropah dan Asia Barat, sektor pelancongan tempatan masih berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 Menara Kuala Lumpur dan pelancaran Visit Malaysia Square @ Kuala Lumpur Tower di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa.
Katanya, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan operator pelancongan untuk memantau perkembangan semasa berkaitan isu geopolitk.
“Ada sedikit pembatalan kunjungan terutama dari Eropah dan Timur Tengah, tetapi kita tambah baik promosi dan fokus kepada pasaran Asia Pasifik serta ASEAN,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pembukaan Visit Malaysia Square @ Kuala Lumpur Tower dijangka menjadi antara tarikan baharu yang mampu meningkatkan jumlah pengunjung tempatan dan antarabangsa.
“Dataran ini dibangunkan sebagai hab gaya hidup dan pelancongan yang menawarkan pengalaman santai kepada pengunjung di tengah ibu kota.
“Bukan sahaja orang datang ke Menara KL untuk melihat pemandangan bandar tetapi ia juga menjadi tempat santai baharu untuk warga kota.
“Kita sediakan ruang yang selesa, bersih dan selamat selain menampilkan trak makanan serta makanan tempatan,” katanya.
Katanya, kawasan itu kini beroperasi setiap hari bermula jam 5 petang hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti dirancang terutama pada hujung minggu termasuk tayangan langsung perlawanan bola sepak sempena Piala Dunia.
“Selain itu, Menara KL juga merancang membawa kembali acara antarabangsa seperti KL Tower BASE Jump dan KL Tower Run International Challenge 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-30 Menara Kuala Lumpur,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






