London: Sumber memberitahu TEAMtalk bahawa pihak pengurusan Liverpool masih belum bercadang memecat Arne Slot dan melantik Andoni Iraola di tengah-tengah perubahan bakal berlaku dalam struktur kejurulatihan kelab itu.
Kem Slot kekal yakin dia akan terus menjadi ketua jurulatih Liverpool musim depan dan salah seorang individu paling rapat dengannya kini dijangka menyertainya di Anfield.
Sumber mengesahkan penolong jurulatih Feyenoord, Etienne Reijnen bersetuju menyertai Liverpool selepas sebelum ini gagal menyertai barisan kejurulatihan Slot ketika pengendali dari Belanda itu tiba di kelab berkenaan pada 2024.
Reijnen sebelum ini tidak dapat berpindah kerana masalah permit kerja, namun TEAMtalk difahamkan isu itu kini sudah diselesaikan dan Slot berjaya meyakinkan pihak pengurusan Liverpool untuk meluluskan pelantikan berkenaan.
Jurulatih dari Belanda itu dianggap antara tenaga kejurulatihan berprofil tinggi di Feyenoord dengan memainkan peranan penting dalam aspek analisis, persiapan taktikal dan latihan teknikal selain terbabit secara langsung dalam strategi situasi bola mati.
Sumber rapat dengan kem Slot menjelaskan pengendali Liverpool itu sudah lama mahu Reijnen berada bersamanya di England dan menganggap kehadiran jurulatih itu penting menjelang musim kedua yang dijangka mencabar di Anfield.
Walaupun berdepan tekanan daripada luar sepanjang musim ini, TEAMtalk difahamkan Slot dan individu di sekelilingnya sentiasa percaya Liverpool mahu mengekalkannya sehingga musim depan.
Pihak pengurusan Liverpool sebelum ini mengesahkan penilaian menyeluruh akan dilakukan pada penghujung musim selepas kempen mengecewakan tanpa sebarang trofi sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depan Slot.
Namun sumber menjelaskan pendirian dalaman di Anfield sentiasa memihak kepada Slot dengan syarat Liverpool berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL).
TEAMtalk turut difahamkan sasaran itu dianggap penanda aras utama dan sebaik ia berjaya dicapai, keyakinan untuk terus mengekalkan bekas jurulatih Feyenoord itu semakin meningkat.
Slot juga dikatakan menghargai sokongan diberikan pihak pengurusan Liverpool sepanjang musim sukar ini, namun sumber rapat dengannya mengakui dia sedar satu lagi musim tanpa trofi akan meningkatkan tekanan daripada penyokong dan pihak atasan kelab.
Liverpool bagaimanapun tetap menilai beberapa situasi membabitkan calon pengurus lain sepanjang musim sebagai sebahagian daripada perancangan strategik kelab.
© New Straits Times Press (M) Bhd






