Remaja hilang dihanyutkan ombak di Pantai Batu Linting

Remaja hilang dihanyutkan ombak di Pantai Batu Linting

Remaja hilang dihanyutkan ombak di Pantai Batu Linting


am@hmetro.com.my

Beaufort: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus deras ketika mandi bersama ahli keluarganya di Pantai Batu Linting, Kuala Penyu, hari ini.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Jason Alexander Jonathan dari Kampung Kiaulu, Tuaran, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan ombak kuat ke tengah laut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa ketika itu mandi bersama ahli keluarga sebelum arus kuat tiba-tiba menariknya ke laut.

“Adik mangsa cuba membantu menyelamatkannya namun gagal sebelum mangsa terus dibawa arus.

“Adik mangsa yang turut mengalami kecederaan kemudian dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung, nelayan serta wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Orang ramai yang menemui atau mempunyai maklumat mengena remaja berkenaan diminta segera menghubungi pihak polis atau memaklumkan kepada petugas di Pos Kawalan Tempat Kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Zulhalim Abdin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.22 petang sebelum sepasukan sembilan anggota dari BBP Kuala Penyu dikerahkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak dipercayai lemas ketika mandi-manda di pantai berkenaan.

“Bagaimanapun, seorang mangsa berusia 13 tahun berjaya diselamatkan ahli keluarga, manakala Jason masih belum ditemui.

“Operasi pencarian dijalankan di kawasan persisiran pantai menggunakan kaedah pencarian di permukaan air, namun usaha mencari berdepan cabaran akibat keadaan ombak yang kuat.

“Sehingga malam ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top