Bangkok: Satu imej tular anggota polis Thailand yang memakai gaun berwarna-warni dan berkilauan untuk serbuan penyeludupan dadah, dihasilkan dengan kecerdasan buatan (AI), kata pegawai polis tempatan.
Gambar enam pegawai yang ditunjukkan memakai kostum penari sambil mengapit seorang suspek menjadi sensasi tular dari Asia Tenggara hingga ke benua Amerika.
Media-media utama melaporkannya sebagai operasi polis yang tulen di Thailand, tetapi pegawai yang pada asalnya menyiarkannya memberitahu AFP bahawa gambar itu dijana oleh AI.
Jabatan semakan fakta AFP mengesan imej itu ke halaman Facebook Balai Polis Wilayah Tha Luang di wilayah Lopburi selepas mendapati terdapat kemungkinan “sangat tinggi” bahawa ia dijana menggunakan AI.
Sarjan Polis Rachata Mitrsuripong, pentadbir halaman Facebook itu berkata, beliau bertanggungjawab untuknya.
“Saya ingin mencipta imej polis yang lebih mesra, menunjukkan sisi yang comel dan lucu, supaya orang ramai berasa lebih selesa mendekati pegawai,” katanya kepada AFP pada 26 Mei.
“Kadangkala orang ramai berasa terintimidasi dengan polis,” katanya.
Sarjan Rachata berkata, butiran tangkapan dalam catatan itu adalah tulen dan memberikan AFP imej asal, yang hanya mempunyai lima pegawai lelaki berpakaian biasa mengelilingi suspek.
Seorang lagi pegawai di balai polis mengesahkan kepada AFP bahawa Sarjan Rachata menguruskan halaman Facebooknya tetapi menambah beliau tidak menyedari imej yang dijana AI itu tersebar di peringkat antarabangsa.
Imej itu menjadi tular selepas ia disiarkan semula oleh saluran media tempatan.
Ini bukan kali pertama polis yang didakwa menjalankan operasi dengan cara memakai kostum.
Semasa sambutan Tahun Baru Cina pada bulan Februari, polis Thailand memakai kostum penari tarian singa merah dan emas untuk menangkap suspek pecah rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




