Washington: Beberapa organisasi antarabangsa, termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Bank Dunia, memberi amaran tentang risiko kekurangan bekalan bahan api pada musim panas ini jika lalu lintas maritim melalui Selat Hormuz tidak kembali normal dengan segera.
Dalam kenyataan bersama, ketua ketiga-tiga institusi berkenaan menyatakan bahawa inventori minyak global sedang menyusut pada kadar rekod berikutan kehilangan besar bekalan yang melalui Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Mereka memberi amaran bahawa penyusutan pantas rizab global secara berterusan akan meningkatkan risiko terhadap keselamatan bekalan bahan api, kestabilan pasaran dan daya tahan ekonomi secara keseluruhan sekiranya aliran perkapalan tidak dipulihkan sebelum kemuncak permintaan musim panas di Hemisfera Utara.
Kenyataan itu menambah bahawa lonjakan harga tenaga dan baja akibat konflik di Asia Barat telah memberi kesan yang tidak seimbang kepada negara berpendapatan rendah, sambil menyatakan bahawa harga baja yang lebih tinggi amat membimbangkan ketika banyak negara sedang memasuki musim menanam.
Iran telah menyekat laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan air penting yang biasanya dilalui oleh kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair global, sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang dilancarkan pada akhir Februari.
Pada April, ketua IMF, Bank Dunia, dan IEA mengumumkan bahawa mereka sedang membentuk satu kumpulan untuk menyelaraskan tindak balas agensi berkenaan terhadap krisis itu, terutamanya bagi ekonomi yang rapuh.
Pada Mesyuarat Musim Bunga IMF tahun ini, Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva menekankan bahawa perang berkenaan telah memaksa pengurangan dalam unjuran pertumbuhan global.
Beliau menganggarkan bahawa ekonomi yang rapuh akan memerlukan bantuan kewangan antara AS$20 bilion hingga AS$50 bilion berikutan kesan ekonomi daripada konflik tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd





