Budapest: Ketika detik sepak mula final Liga Juara-Juara (UCL) semakin hampir, jentera serangan Paris Saint-Germain (PSG) yang cukup berbisa bakal diuji benteng ampuh Arsenal dalam pertembungan dua pasukan dengan pendekatan berbeza.
Jurulatih PSG, Luis Enrique, menegaskan tiada pasukan boleh dianggap pilihan menjelang perlawanan menentang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kendalian Mikel Arteta itu sambil menyifatkan perincian kecil bakal menentukan pemenang.
Walaupun syarikat pertaruhan meletakkan juara Ligue 1 dan penyandang juara UCL itu sebagai pilihan, ramai beranggapan final kali ini adalah yang paling sukar diramal sejak Real Madrid menewaskan Liverpool pada 2018.
Selepas menamatkan penantian 22 tahun untuk menjulang kejuaraan EPL, Arsenal tiba di Budapest dengan keyakinan tinggi untuk mencipta satu lagi sejarah, dua dekad selepas tewas kepada Barcelona dalam satu-satunya final UCL yang pernah mereka harungi.
Pemain Arsenal termasuk bek kanan, Jurrien Timber, yang kembali cergas selepas mengalami kecederaan, dilihat bersiar-siar di sekitar Budapest pagi tadi dalam cuaca mendung yang mengurangkan bahang musim panas.
Perlawanan yang dijadual berlangsung lebih awal berbanding kebiasaan pada jam 6 petang waktu tempatan mungkin memberi kelebihan kepada pemain PSG yang terkenal dengan kepantasan mereka.
Hanya satu pasukan berjaya menjaringkan gol dalam setiap tujuh final UCL terakhir dan situasi sama mungkin berulang di Arena Puskas berdasarkan pendekatan yang dijangka digunakan Arsenal.
The Gunners yang masih belum tewas dalam kejohanan itu merekodkan sembilan perlawanan tanpa bolos dan hanya dibolosi enam kali sepanjang kempen. Ramai menjangkakan mereka akan lebih banyak bertahan dan cuba memanfaatkan situasi bola mati untuk menghukum PSG.
“Mereka layak berada di sini,” kata pemenang Ballon d’Or PSG, Ousmane Dembele, yang kembali cergas selepas mengalami masalah betis.
“Mereka kuat di hampir setiap bahagian sama ada serangan atau pertahanan, dan mereka juga sangat berbahaya menerusi bola mati. Semua orang tahu perkara itu.”
Skuad utama Arsenal mengharungi lebih banyak perlawanan berbanding PSG musim ini, namun pemain sayap England, Bukayo Saka, menolak tanggapan bahawa faktor itu akan memberi kesan kepada pasukannya.
“Perlawanan seperti ini tidak akan ditentukan oleh jumlah minit yang dimainkan.
“Ia akan ditentukan oleh detik-detik penting dalam perlawanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





