'Wartawan benteng masyarakat celik maklumat' – Dr Sam

'Wartawan benteng masyarakat celik maklumat' – Dr Sam

'Wartawan benteng masyarakat celik maklumat' – Dr Sam


am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Wartawan bukan sekadar berperanan sebagai pelapor berita, malah menjadi antara benteng penting dalam membina masyarakat yang celik maklumat, matang berfikir dan memahami realiti semasa secara adil serta seimbang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di sebalik setiap berita yang disampaikan kepada rakyat, terdapat pengamal media yang bertugas tanpa mengira waktu, turun ke lapangan, meneliti fakta dan menyampaikan maklumat dengan penuh tanggungjawab.

Menurutnya, dalam dunia yang semakin pantas dipenuhi pelbagai maklumat, kewartawanan yang berintegriti menjadi semakin penting bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat dan sahih.

“Ketepatan fakta, etika dalam pelaporan serta keberanian mempertahankan kebenaran perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara.

“Wartawan bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat serta memperkukuhkan kefahaman terhadap isu-isu semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, semalam.

Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media termasuk wartawan, jurugambar, editor, kru produksi dan semua yang bekerja di belakang tabir atas jasa serta pengorbanan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Beliau berharap semua pengamal media terus istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat yang benar, berfakta dan mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih baik.

“Selamat Hari Wartawan Nasional 2026. Semoga terus istiqamah menyampaikan maklumat yang benar, berfakta dan membina masyarakat,” katanya.

Hari Wartawan Nasional 2026 disambut dengan tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, yang menekankan kepentingan integriti dalam memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap media.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top