jashadiqe@nst.com.my
Kluang: Polis menahan seorang lelaki selepas video cubaannya memecah masuk sebuah rumah di Kampung Padang Tembak di sini, Rabu lalu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan pada jam 12.45 tengah hari semalam di Jalan Kampung SC di sini.
Katanya, kes itu mula dikesan selepas satu video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki cuba menceroboh sebuah rumah di Lorong Arnab, Kampung Padang Tembak, pada jam 4 petang, 27 Mei lalu.
Satu laporan polis kemudiannya dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa suspek cuba memecahkan pintu rumahnya.
Bahrin berkata, suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia negatif daripada penyalahgunaan dadah.
“Suspek direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 511 kerana cubaan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis turut menggesa orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dan menyalurkan maklumat kepada balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222 atau 07-7766822.
© New Straits Times Press (M) Bhd






