Kuala Lumpur: CIMB Bank Bhd dan China Merchants Bank Co Ltd menjalin kerjasama strategik bagi menyediakan penyelesaian rentas sempadan dan menyokong pengembangan khidmat perbankan yang menyeluruh di China, Malaysia dan ASEAN.
Dalam kenyataan baru-baru ini, CIMB memaklumkan memeterai surat hasrat (LOI) dengan China Merchants Bank untuk menawarkan penyelesaian rentas sempadan komprehensif dan membolehkan pelanggan memanfaatkan perkhidmatan perbankan yang menyokong perniagaan rentas sempadan mereka.
Menurut bank itu, kerjasama yang sejajar dengan strategi Forward30, menyasarkan untuk meningkatkan keterhubungan perbankan menyeluruh selain menyokong pertumbuhan aktiviti kewangan rentas sempadan di seluruh rantau ini.
“Pelanggan akan mendapat manfaat daripada menu perkhidmatan perbankan yang meluas dan merangkumi perdagangan, pembayaran dan pembiayaan rentas sempadan untuk menyokong operasi serta mengembangkan usaha melangkaui pasaran,” menurutnya.
China Merchants Bank adalah antara bank komersial terbesar China, manakala CIMB beroperasi di serata pasaran ASEAN, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Vietnam serta Filipina.
CIMB memaklumkan, kerjasama itu turut meneroka aspek penambahbaikan pengurusan tunai, pembiayaan perdagangan dan keupayaan penyelesaian pembayaran selain disokong oleh hubungan lebih kukuh antara ibu pejabat kedua-dua bank bagi melancarkan operasi perbendaharaan rentas sempadan.
“Di samping itu, bank-bank berkenaan akan turut mengembangkan rujukan pelanggan bersama dan bekerjasama dalam khidmat penasihat dan perbankan pelaburan untuk tujuan pengembangan serantau yang meliputi penyertaan pasaran, penstrukturan pelaburan dan ketetapan pengawalseliaan.
“Ini akan dilengkapkan lagi dengan potensi kerjasama dalam pembiayaan bersindiket di serata pasaran utama serta sekunder global, sekali gus membolehkan pelanggan mendapatkan akses terhadap peluang pembiayaan yang lebih meluas,” menurutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB Chu Kok Wei berkata, kerjasama itu mengukuhkan peranan bank dalam memajukan keterhubungan kewangan serantau dengan memanfaatkan kehadiran kukuh CIMB dan kepakarannya di ASEAN.
“CIMB sebagai penghubung utama antara Malaysia, ASEAN dan China, berada dalam kedudukan kukuh untuk memudah cara aspek aliran kewangan lancar merentasi koridor China-ASEAN, membolehkan kami menyokong pelanggan secara lebih baik menerusi penyelesaian bersepadu, menyeluruh ketika mereka mengembangkan serta merebut peluang pertumbuhan di serata rantau ini,” katanya.
Menurut CIMB, pelanggan segmen korporat dan runcit juga berpeluang mendapat manfaat daripada akses lebih ketara terhadap perkhidmatan perbankan antarabangsa.
“Kerjasama ini akan diperkukuhkan lagi dengan proses yang diperkemas dan peningkatan tahap perkhidmatan yang secara kolektif dapat memacu nilai tambah bagi pelanggan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






