Ketua Hakim Negara dikurnia gelaran Tun, dahului senarai penerima pingat sempena Keputeraan Agong

Ketua Hakim Negara dikurnia gelaran Tun, dahului senarai penerima pingat sempena Keputeraan Agong


Kuala Lumpur: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 144 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Wan Ahmad Farid, 63, yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada 28 Julai tahun lalu, menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 disempurnakan Sultan Ibrahim. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Jaguh sukan berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dikurniakan Darjah Bakti (DB) iaitu pengiktirafan tertinggi negara terhadap kecemerlangan dan sumbangannya dalam sukan berbasikal serta memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.

Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ dikurniakan kepada Panglima Angkatan Tentera Datuk Seri Malek Razak Sulaiman, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, antara lima individu dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Turut dikurniakan PSM ialah Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor Datuk Avinderjit Singh Harjit Singh.

Sepuluh individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ iaitu Hakim Mahkamah Rayuan Leonard David Shim, KSU Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Aminuddin Hassim, KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hairil Yahri Yaacob, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Zulfikri Osman dan Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Turut menerima PJN, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari, tokoh aktivis masyarakat dan wanita Datuk Rugayah Abdul Majid, Pengerusi Mranti Corporation Sdn Bhd Prof Dr Rofina Yasmin Othman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Amar Huzaimi Md Deris serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd Datuk Teo Chee Yow.

Tiga individu pula menerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’ iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof, Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Datuk Jaba Mohd Noah dan juruiring Tentera Udara Yang di-Pertuan Agong Brig Jen Datuk Amrul Yacob.

Dalam pada itu, Darjah Johan Mangku Negara (JMN) dikurniakan kepada 12 penerima antaranya Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Jabatan Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial Hospital Kuala Lumpur Dr Kok Tuck Choon, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Zulkifli Hashim dan Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Pediatrik Jabatan Pediatrik Hospital Selayang Dr Tang Swee Ping.

Seramai 11 individu dikurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) termasuk Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan Brig Jen Tan Chee Kee, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Shamsul Nizam Khalil serta pakar perunding radiologi Jabatan Radiologi Hospital Pakar Sultanah Fatimah Dr Laili Suriani Ab Latip.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan Kementerian Luar Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa adalah antara penerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD), manakala bekas pemain badminton beregu campuran negara yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Goh Liu Ying antara 10 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

Selain itu, juruiring tentera Sultan Johor dan juruiring Permaisuri Johor iaitu Kol Sheikh Ali Ahmad dan DSP Liyana Mohd Toff dikurniakan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD).

Sejumlah 28 individu menerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), manakala 42 individu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 15 individu menerima Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).

Secara keseluruhan seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top