EDISI sulung Piala Lee Chong Wei 2026 dijangka menjadi tumpuan utama pemain badminton remaja seluruh negara apabila menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000 selain peluang menempatkan diri dalam radar pembangunan bakat kebangsaan.
Lebih menarik, pemain yang menyerlah dalam kejohanan itu berpeluang mengikuti sesi pemilihan khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sekali gus membuka laluan untuk mengembangkan karier mereka ke peringkat lebih tinggi.
Kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 29 Ogos hingga 6 September itu turut menerima pengiktirafan rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menjadikannya antara platform pembangunan pemain muda paling berprestij di negara ini.
Piala Lee Chong Wei 2026 mencipta penanda aras baharu apabila muncul sebagai kejohanan badminton remaja dengan tawaran hadiah wang tunai terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Pendaftaran penyertaan akan dibuka bermula 15 Jun ini pada jam 12 tengah hari dengan setiap kategori menawarkan 128 tempat, manakala 32 lagi slot disediakan dalam senarai menunggu.
Menurut penganjur, pemain dalam senarai menunggu masih berpeluang beraksi sekiranya berlaku penarikan diri atau kekosongan tempat daripada peserta yang telah mengesahkan penyertaan.
Dari segi format pertandingan, 128 pemain akan memulakan saingan di peringkat kelayakan sebelum 32 daripadanya mara ke pusingan akhir yang menghimpunkan 64 pemain terbaik.
Separuh daripada tempat ke pusingan akhir pula akan diisi pemain yang dipilih dan dicalonkan oleh Persatuan Badminton Negeri masing-masing.
Kejohanan turut menjadi antara yang terawal mengadaptasi sistem pemarkahan baharu 3×15 yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), iaitu perlawanan dimainkan dalam format terbaik daripada tiga set dengan setiap set berakhir pada 15 mata.
Sebanyak tiga kategori umur dipertandingkan iaitu Bawah 13 Tahun (B13), Bawah 15 Tahun (B15) dan Bawah 17 Tahun (B17) melibatkan acara perseorangan serta beregu lelaki dan wanita.
Kategori B17 menawarkan satu lagi cabaran menerusi acara beregu campuran, menjadikan lima acara keseluruhan dipertandingkan dalam kategori tersebut.
Bagi memastikan peluang penyertaan lebih seimbang, setiap pemain hanya dibenarkan mengambil bahagian dalam maksimum dua acara sahaja mengikut kategori umur masing-masing.
Kategori B13 terbuka kepada pemain kelahiran 2013 hingga 2015, manakala kategori B15 melibatkan pemain yang lahir pada 2011 dan 2012. Bagi kategori B17 pula, ia dikhaskan kepada pemain kelahiran 2009 dan 2010.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi acara perseorangan dan RM100 untuk acara beregu.
Dalam masa sama, kejohanan itu turut membawa nilai kebajikan apabila keseluruhan hasil kutipan yuran penyertaan akan disumbangkan Chong Wei, kepada badan kebajikan yang akan diumumkan kemudian.
Maklumat lengkap berhubung syarat penyertaan serta peraturan pertandingan boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi Piala Lee Chong Wei 2026.






