IPOH: Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad menafikan dakwaan beliau mengasari seorang mahasiswa yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Menurutnya, dakwaan tersebut tidak benar kerana tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku terhadap pelajar tersebut seperti yang didakwa.
Beliau berkata, apa yang berlaku ialah beliau hanya menyentuh pipi pelajar tersebut sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan beliau dengan keluarga pelajar tersebut.
“Saya merujuk video yang tular di media sosial serta laporan polis yang mendakwa saya telah menampar seorang pelajar semasa program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM di Institut Latihan dan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik pada 20 Mei.
“Dakwaan tersebut tidak benar. Kejadian sebenar ialah semasa saya berjalan ke dewan makan selepas selesai menyampaikan syarahan, saya telah diperkenalkan kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan dimaklumkan beliau merupakan anak saudara kepada sahabat saya.
“Dalam suasana mesra, saya telah bersalaman dan menyentuh pipi beliau sebagai tanda kemesraan memandangan hubungan saya dengan keluarganya.
“Tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku secara terbuka di hadapan beberapa pihak yang hadir termasuk pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM serta pegawai dan peserta program yang berada di lokasi ketika itu.
Menurutnya, beliau kesal apabila rakaman video tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian telah menimbulkan persepsi yang tidak tepat serta mencemarkan reputasi beliau.
“Saya menyeru semua pihak agar meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan yang tidak berasas,” katanya.
Terdahulu, seorang mahasiswa yang juga cucu kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Pelajar itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu lalu. – UTUSAN






