Jersi bertuah Pele bernilai RM23.7 juta dilelong

Jersi bertuah Pele bernilai RM23.7 juta dilelong


New York: Jersi yang dipakai legenda bola sepak dunia, Pele ketika membantu Brazil menjuarai Piala Dunia 1958 bakal menjadi tumpuan utama dalam satu lelongan khas sempena kejohanan Piala Dunia tahun ini, menurut pengumuman dibuat oleh Sotheby’s.

Pele yang ketika itu baru berusia 17 tahun menjaringkan dua gol dalam kemenangan Brazil 5-2 ke atas Sweden pada aksi final Piala Dunia 1958.

Kejayaan itu menghadiahkan gelaran Piala Dunia pertama buat Brazil daripada lima kejuaraan yang menjadi rekod dunia, dengan tiga daripadanya dimenangi ketika era Pele yang digelar ‘Raja Bola Sepak’.

Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento meninggal dunia pada Disember 2022 di usia 82 tahun selepas bertarung dengan kanser usus.

Menurut Sotheby’s, jersi nombor 10 itu dianggarkan mampu dijual melebihi AS$6 juta (RM23.7 juta) dalam lelongan yang berlangsung dari 29 Jun hingga 16 Julai, tiga hari sebelum final Piala Dunia tahun ini.

Sebagai perbandingan, jersi ‘Hand of God’ milik Diego Maradona dijual pada harga AS$9.3 juta (RM36.8 juta) pada 2022 sebelum rekod itu diatasi oleh jersi ‘Last Dance’ milik Michael Jordan yang mencecah AS$10.1 juta (RM40 juta).

Pele menghadiahkan jersi bersejarah itu kepada rakan sepasukannya, Dida, dan keluarga pemain berkenaan menyimpannya selama beberapa dekad sebelum dipamerkan di muzium serta dilelong pada 2004.

Turut ditawarkan dalam lelongan khas bertemakan ‘The Beautiful Game’ itu ialah lilitan kapten yang dipakai Maradona ketika perlawanan kontroversi ‘Hand of God’ pada Piala Dunia 1986 serta beberapa koleksi milik bintang Argentina, Lionel Messi.

Pameran awam bagi semua koleksi berkenaan akan dibuka pada 1 Julai di bangunan Sotheby’s Breuer di New York.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top