‘Jangan datang hanya memenuhi kerusi’

‘Jangan datang hanya memenuhi kerusi’


Kongres Luar Biasa FAM akan berlangsung pada Khamis.

KUMPULAN penyokong skuad kebangsaan, Ultras Malaya menggesa semua ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal menghadiri Kongres Luar Biasa (EGM) pada Khamis supaya tidak hanya hadir memenuhi kuota.

Ultras Malaya menegaskan bahawa kongres yang bakal berlangsung itu amat kritikal dan ahli gabungan memikul agenda yang sangat besar khususnya membabitkan masa depan bola sepak negara.

“Esok bukan mesyuarat biasa. Bukan setiap tahun AFC hantar pasukan khas, buat audit dan kemukakan cadangan reformasi besar kepada FAM.

“Ini soal masa depan bola sepak Malaysia dan setiap ahli gabungan FAM yang akan hadir ke EGM nanti memikul tanggungjawab yang besar,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi mereka.

Sebelum ini, AFC menerusi pasukan penilai khasnya melakukan penilaian menyeluruh terhadap FAM sejak Februari lalu atas jemputan badan induk bola sepak negara berikutan peletakan jawatan kesemua ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.

Penilaian tersebut dibuat susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan negara dengan hasil penilaian itu menyaksikan AFC menyediakan draf cadangan pindaan statut untuk dibentangkan kepada FAM pada Khamis.

Ultras Malaya menuntut komitmen sepenuhnya daripada setiap perwakilan yang hadir untuk melibatkan diri secara aktif dalam meneliti setiap agenda yang dibentangkan.

Jelas mereka, setiap ahli gabungan perlu mempunyai keberanian untuk membahaskan perkara yang dirasakan perlu demi kebaikan sukan nombor satu negara itu.

“Teliti setiap cadangan, baca setiap pindaan, bahaskan setiap perkara yang perlu dibahaskan. Jangan datang sekadar memenuhi kerusi.

“Bola sepak Malaysia perlukan individu dari seorang rakyat yang berani berfikir, berani bertanya dan berani membuat keputusan demi kepentingan permainan itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ultras Malaya turut mengingatkan para pemegang jawatan bahawa peminat dan penyokong bola sepak tempatan sentiasa mengharapkan ketelusan serta kesungguhan dalam mengemudikan hala tuju sukan berkenaan.

“Rakyat tidak mengharapkan kesempurnaan. Tetapi rakyat berhak mengharapkan kejujuran dan kesungguhan daripada seorang rakyat, bukan sekadar seorang pemegang jawatan.

“Peluang seperti ini bukan datang setiap tahun. Jangan sia-siakannya,” kata kenyataan itu lagi.



Source link

OR

Scroll to Top