Messi (kiri) dan Ronaldo bakal membuat penampilan keenam mereka di Piala Dunia. Foto Agensi
KESEMUA 48 negara yang akan beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 telah mengesahkan senarai akhir skuad masing-masing, sekali gus melibatkan 1,248 pemain yang bakal berentap di pentas terbesar bola sepak dunia.
Pengumuman itu dibuat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas semua persatuan bola sepak negara ahli menghantar senarai akhir pemain sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Antara nama besar yang kembali menghiasi kejohanan berprestij itu termasuk Lionel Messi (Argentina), Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Guillermo Ochoa (Mexico) yang bakal membuat penampilan keenam mereka di Piala Dunia.
Selain itu, kejohanan edisi 2026 turut menyaksikan kemunculan beberapa negara baharu seperti Cape Verde, Curaçao, Jordan dan Uzbekistan yang mencipta sejarah penyertaan sulung di pentas dunia.
FIFA memaklumkan kejohanan kali ini akan bermula pada 11 Jun dengan 104 perlawanan berlangsung di tiga negara hos iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, sebelum aksi final dijadualkan pada 19 Julai.
“Senarai skuad yang disahkan ini mencerminkan skala besar serta daya tarikan berterusan kejohanan.
“Seramai 357 pemain kembali selepas pernah menyertai Piala Dunia, manakala 891 pemain lain bakal membuat penampilan pertama,” kata FIFA dalam kenyataan.
Edisi kali ini turut mencatat sejarah sebagai kejohanan terbesar dengan format 48 pasukan, menyaksikan lebih 1,000 pemain berkampung di Amerika Utara bagi merebut kejuaraan dunia.






