'Pantang' tengok orang lebih dalam akademik

'Pantang' tengok orang lebih dalam akademik


surayaroslan@mediaprima.com.my

Arwah bapanya tidak pernah memiliki kereta. Setiap kali datang melawatnya di asrama, lelaki itu sanggup menaiki bas lebih dua jam sambil menjinjit beg berisi makanan yang dimasak sendiri untuk anak kesayangannya.

Ketika rakan lain menerima kunjungan ibu bapa yang datang dengan kereta dan membawa mereka keluar bersiar-siar, dia hanya mampu memerhati dari jauh.

Perasaan cemburu itu akhirnya bertukar menjadi azam.

Azam seorang anak kerani sekolah di FELDA Jengka 15, Pahang ini yang mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.

Hari ini, Dr Hazwani Abdul Raffar, 39, membuktikan bahawa kejayaan tidak ditentukan oleh sebesar mana rumah yang didiami atau semewah mana kenderaan dimiliki keluarga, sebaliknya oleh kesungguhan untuk terus melangkah walaupun bermula dari bawah.

Membesar dalam keluarga sederhana dengan seorang adik, Hazwani menghabiskan zaman kanak-kanaknya di kuarters pegawai FELDA bersama ibu yang juga suri rumah dan bapanya yang bekerja sebagai kerani sekolah.

Rumah papan dua bilik yang didiami keluarga kecil itu mungkin serba sederhana, namun penuh dengan kasih sayang dan nilai kehidupan yang menjadi bekalan hingga hari ini.

“Abah tak ada kereta, cuma ada motosikal. Kalau abah ada kursus, emak akan hantar saya berjalan kaki ke sekolah. Masa itu, ia perkara biasa sahaja bagi kami,” katanya.

Sebagai anak yang membesar dalam komuniti FELDA, kehidupannya tidak jauh berbeza dengan anak-anak peneroka lain.

Waktu petang diisi dengan memanjat pokok, bermain di ladang sawit dan meneroka kawasan sekitar bersama rakan-rakan.

Walaupun hidup sederhana, dia memiliki semangat yang cukup tinggi dalam pelajaran.

Katanya, sejak kecil dia sentiasa mahu menjadi yang terbaik dan tidak suka melihat orang lain mendahuluinya dalam akademik.

“Kalau ada orang lebih daripada saya, memang saya akan usaha lebih kuat. Daripada darjah satu hingga enam, saya memang sasarkan untuk dapat tempat pertama dan anugerah mata pelajaran terbaik,” katanya.

Ibu tiga anak itu berkata, usaha itu membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum menerima beberapa tawaran sekolah berasrama penuh.

Namun, perjalanan menyesuaikan diri di sekolah elit bukan sesuatu yang mudah.

“Ketika melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Kuantan, saya mula berdepan cabaran keyakinan diri apabila dikelilingi pelajar daripada pelbagai latar belakang.

“Selalu tengok ibu bapa kawan datang naik kereta setiap minggu. Mereka bawa makanan sedap, bawa anak keluar berjalan dan ada yang tolong basuhkan baju anak.

“Abah pula datang naik bas. Ada kalanya bas penuh sehinggakan perlu berdiri sepanjang perjalanan. Tapi abah tetap datang bawa makanan yang dimasak sendiri,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu pernah membuatkan dia berasa rendah diri dan cemburu, namun daripada situlah lahir tekad untuk mengubah kehidupan keluarga.

“Saya berjanji kepada diri bahawa pendidikan adalah jalan terbaik untuk menggapai masa depan yang lebih cemerlang.

“Saya tanamkan dalam hati, bila besar nanti, saya mahu berjaya dan balas jasa ibu dan abah yang berkorban segalanya untuk saya,” katanya.

Selepas menamatkan persekolahan, Hazwani meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universitas Indonesia, Jakarta, Indonesia melalui tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menariknya, bidang perubatan bukan cita-cita asalnya, sebaliknya dia pernah memasang impian untuk menjadi wartawan, pembaca berita atau hos televisyen.

Katanya, malah, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia pernah menerima tawaran mengikuti pengajian dalam bidang penyiaran.

Bagaimanapun, bapanya berpendapat, laluan sains yang dipilih selama ini perlu diteruskan dan akhirnya dia akur dengan keputusan itu.

“Arwah abah selalu cakap, dalam keluarga kami belum ada doktor atau jururawat. Dia rasa saya patut cuba masuk bidang perubatan dan jadikan ia sebagai sumbangan kepada keluarga,” katanya.

Menurutnya, sepanjang lima tahun menuntut di Jakarta, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah datang melawat kerana kekangan kewangan.

Malah, Hazwani mengakui antara perkara yang paling meruntun perasaannya sehingga kini ialah apabila ibu bapanya tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen.

“Abah kata tak dapat cuti. Tapi sebenarnya saya tahu abah tak cukup duit untuk datang ke Jakarta,” katanya.

Ketika bergelar penuntut, Hazwani menjadi pembantu membeli-belah atau ‘personal shopper’ bagi membiayai perbelanjaan dan mengumpul wang untuk pulang ke Malaysia.

“Selepas tamat pengajian dan menjalani latihan perubatan, saya berkhidmat dalam sektor kerajaan sebelum mula memasang impian memiliki klinik sendiri.

“Demi mengumpul modal dan pengalaman, saya bekerja tanpa mengenal penat, pada siang hari saya bertugas di hospital kerajaan manakala waktu malam pula melakukan kerja sambilan di klinik swasta sehingga lewat pagi, hujung minggu pula diisi dengan kerja locum di klinik 24 jam,” katanya.

Menurut beliau, tempoh itu menjadi sekolah kehidupan yang mengajarnya bukan sahaja mengenai rawatan pesakit, malah selok-belok pengurusan klinik.

“Pada 2016, selepas hampir lima tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan, saya tinggalkan perkhidmatan awam untuk meneroka dunia perubatan swasta.

“Keputusan itu pada awalnya tidak dipersetujui Abah yang bimbang saya tidak mampu bertahan.

“Namun dengan sokongan suami dan keyakinan terhadap impian, saya terus melangkah,” katanya,

Hari ini, beliau memiliki tiga klinik iaitu Klinik Hazra Medic di Kota Warisan, Cyberjaya dan Dengkil serta membina nama dalam bidang yang suatu ketika dahulu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Walaupun sudah mencapai banyak kejayaan, Hazwani masih berpegang teguh kepada nilai yang diterapkan ibu bapanya sejak kecil.

“Antara prinsip sentiasa menjadi pegangan ialah tidak membandingkan diri dengan orang lain, sentiasa berbuat baik dan tidak takut berkongsi rezeki.

“Abah selalu pesan, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Saya percaya setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing. Jangan bandingkan diri dengan orang lain, tetapi jadilah lebih baik daripada diri kita semalam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top