‘Bincang langsir baharu ketika rumah masih terbakar’

‘Bincang langsir baharu ketika rumah masih terbakar’

‘Bincang langsir baharu ketika rumah masih terbakar’


PEMERHATI sukan tanah air, Zakaria Rahim mempersoalkan mengenai isu pemalsuan tujuh pemain warisan yang masih belum diberikan penjelasan lengkap di sebalik reformasi pentadbiran yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Khamis.

Beliau menyifatkan usaha meminda statut tanpa menyelesaikan isu besar tersebut umpama seperti tindakan membincangkan langsir baharu ketika rumah masih terbakar.

EGM yang dijadualkan berlangsung itu bakal menyaksikan semua ahli gabungan membahaskan draf pindaan Statut FAM yang disarankan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) .

Ia susulan AFC yang telah telah ‘masuk’ ke FAM selama tiga bulan bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk memperbetulkan urus tadbir badan induk itu.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Zakaria menjelaskan bahawa masa depan landskap bola sepak negara kini terletak sepenuhnya di bahu 36 perwakilan yang mewakili 18 ahli gabungan badan induk berkenaan.

“Terpulang kepada kesemua perwakilan dari 18 persatuan bola sepak negeri, PDRM, ATM, persatuan jurulatih, serta persatuan bola sepak Melayu, Cina, dan India Malaysia untuk menentukan hala tuju ini.

“Bagaimanapun, sebelum kita sibuk berbahas tentang pindaan Statut FAM, penambahan ahli gabungan dan pelbagai reformasi di atas kertas, ada satu persoalan besar yang masih belum dijawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria mempersoalkan mengapa sehingga ke hari ini, rakyat dan ahli-ahli gabungan masih tidak diberikan penjelasan yang lengkap mengenai skandal pemalsuan dokumen yang telah memalukan nama baik bola sepak negara.

Beliau menegaskan, sebarang usaha pembaharuan atau penstrukturan semula tidak akan membawa makna sekiranya isu ketelusan dan akauntabiliti terus diketepikan.

“Jangan alihkan perhatian dengan membincangkan langsir baharu sedangkan rumah masih terbakar. Jangan bercakap tentang reformasi jika kebenaran masih disembunyikan dan jangan bercakap tentang integriti jika tiada siapa yang dipertanggungjawabkan.

“Apa gunanya menukar peraturan jika budaya yang membenarkan perkara seumpama ini berlaku masih kekal? Apa gunanya menambah ahli gabungan jika kebajikan dan hak ahli sedia ada pun tidak diberikan pembelaan yang sewajarnya?,” soal beliau.

Menurut beliau, peminat bola sepak tempatan tidak menuntut perkara yang luar biasa sebaliknya hanya mahukan jawapan yang telus dan adil daripada pihak pengurusan tertinggi.

“Rakyat hanya mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku? Siapa yang terlibat? Siapa yang meluluskan perkara tersebut, dan siapa yang akan dipertanggungjawabkan secara undang-undang atau moral?

“Jawab dahulu persoalan ini. Selepas itu, barulah kita bercakap tentang perubahan statut. Tanpa kebenaran, semua reformasi ini hanyalah kosmetik. Dan tanpa akauntabiliti, semua perubahan ini akhirnya hanyalah sebuah sandiwara,” ujarnya.

Mesti Baca



Source link

OR

Scroll to Top