KUDAT: Kestabilan politik yang dinikmati Sabah hari ini perlu dipelihara dan diperkukuhkan memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan untuk manfaat seluruh rakyat.
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata tanpa kestabilan politik, sukar bagi kerajaan merancang serta melaksanakan dasar pembangunan secara berkesan dan berterusan.
“Oleh itu, kestabilan politik dinikmati Sabah hari ini perlu dipelihara dan diperkukuhkan demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 PBS Bahagian Tanjong Kapor, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, PBS bukan sebuah parti mewakili satu kaum sahaja, sebaliknya parti untuk seluruh rakyat Sabah.
Katanya, PBS percaya kekuatan sebuah parti tidak terletak kepada individu, sebaliknya kepada kesatuan dan kebersamaan seluruh ahli.
“Prinsip itu membentuk kekuatan parti dan terus menjadi panduan dalam setiap perjuangan dibawa demi rakyat serta negeri ini,” katanya.
Joachim berkata, semangat setiakawan, saling menghormati dan bekerjasama perlu terus dipupuk supaya PBS kekal kukuh sebagai organisasi politik mampu menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.
“Pemimpin tidak hanya perlu menjadi suara rakyat, tetapi contoh baik dari segi moral, etika dan tadbir urus. Hanya dengan integriti tinggi sebuah parti mampu mengekalkan kepercayaan rakyat dan kekal relevan memperjuangkan kepentingan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu perpaduan dalam ahli, kestabilan politik dan integriti kepimpinan menjadi tiga prinsip utama yang menjadi tunjang perjuangan PBS sejak penubuhannya lebih empat dekad lalu.
Dr Joachim berkata, ketiga-tiga prinsip itu membentuk kekuatan parti dan terus menjadi panduan dalam setiap perjuangan yang dibawa demi rakyat serta negeri ini.-UTUSAN






