Chicago: Sebuah muzium yang didedikasikan kepada perjalanan kerjaya bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dijadual dibuka di Chicago pada 19 Jun, bersempena cuti umum Juneteenth yang memperingati pembebasan masyarakat Afrika-Amerika daripada perhambaan pada 1865, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pameran yang ditempatkan dalam sebuah menara konkrit besar itu memaparkan pelbagai fasa kehidupan pemimpin Parti Demokrat itu sebelum dan selepas beliau menjadi presiden kulit hitam pertama AS, termasuk usaha sukar merombak sistem penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare serta operasi membunuh ketua al-Qaeda Osama bin Laden.
Usaha diplomatik Obama turut dipaparkan menerusi ucapannya di Gerbang Brandenburg di Berlin bersama bekas Canselor Jerman Angela Merkel. Pengunjung juga berpeluang meninjau replika bersaiz sebenar Oval Office.
Ketua Komunikasi Korporat dan Dasar Yayasan Obama Michael Strautmanis berkata Obama menetapkan hala tuju konsep muzium itu dan mahu meneliti pameran yang dipaparkan.
“Namun secara amnya, beliau membenarkan orang lain menjalankan tugas mereka,” katanya kepada dpa.
Selain muzium, kampus seluas kira-kira 7.8 hektar (sekitar 11 padang bola sepak) itu turut merangkumi sebuah forum, dewan pelbagai guna dan sebahagian perpustakaan awam bandar.
Pemilihan Jackson Park sebagai lokasi muzium itu bukan dibuat secara kebetulan. Isterinya Michelle dibesarkan di South Side, Chicago, pasangan itu berkahwin di kawasan berkenaan dan anak mereka, Malia serta Sasha dilahirkan di situ.
Obama mengajar di Universiti Chicago selama 12 tahun dan memulakan kerjaya politiknya di South Side sebelum akhirnya menjadi Presiden AS ke-44.
© New Straits Times Press (M) Bhd





