Liverpool: Liverpool mengumumkan pelantikan Andoni Iraola sebagai pengurus baharu kelab itu selepas memecat Arne Slot susulan kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Iraola segera muncul sebagai calon utama Liverpool untuk menggantikan Slot yang dipecat secara mengejut Sabtu lalu selepas dua tahun mengendalikan pasukan.
Liverpool tidak mendedahkan tempoh kontrak pengurus berusia 43 tahun itu, namun media Britain melaporkan beliau menandatangani kontrak selama dua tahun.
“Saya sangat teruja kerana semua orang tahu tentang Liverpool. Ia sebuah kelab besar, antara terbesar di dunia,” kata Iraola kepada laman web rasmi Liverpool, awal pagi tadi.
“Namun selepas memahami lebih mendalam tentang kelab ini, saya sentiasa merasakan Liverpool sebuah kelab yang istimewa.
“Anda tidak perlukan banyak sebab untuk tertarik dengan Liverpool. Liverpool tetap Liverpool. Atmosfera, penyokong, kelab, pemain-pemain serta peluang melatih pemain bertaraf dunia dan bersaing merebut trofi menjadikan ia peluang yang sukar ditolak. Saya benar-benar tidak sabar untuk memulakannya.”
Selepas menerima kritikan terhadap persembahan hambar Liverpool sepanjang musim kedua Slot di Anfield, Iraola dijangka membawa pendekatan lebih agresif dan berintensiti tinggi, mirip gaya permainan yang pernah diperkenalkan oleh bekas pengurus kesayangan penyokong, Jurgen Klopp.
Iraola mendapat pujian meluas selepas membawa AFC Bournemouth menamatkan saingan di tangga keenam EPL musim ini, sekali gus melayakkan kelab itu ke pentas Eropah buat kali pertama menerusi saingan Liga Europa.
Beliau menyertai Bournemouth dari Rayo Vallecano pada 2023 selepas sebelum itu membimbing CD Mirandes dan AEK Larnaca.
Di bawah kendaliannya, Bournemouth menunjukkan peningkatan setiap musim dengan menamatkan saingan di tangga ke-12, kesembilan dan keenam.
Bekas pemain pertahanan itu turut dipuji kerana kebijaksanaan taktikalnya serta kejayaannya membangunkan bakat muda seperti Eli Junior Kroupi dan Alex Scott.
Iraola sebelum ini sering menyatakan hasrat untuk menerapkan corak permainan menyerang dengan tekanan tinggi, berbeza dengan pendekatan Slot yang lebih terkawal dan pendekatan itu dijangka menggembirakan penyokong Liverpool.
“Saya hanya mahu menjadi salah seorang daripada anda. Saya mahu memperoleh hak untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Liverpool supaya kita dapat menikmati kejayaan bersama-sama,” katanya.
Dilahirkan di wilayah Basque, Sepanyol, Iraola membuat lebih 500 penampilan bersama Athletic Bilbao sebelum beraksi di Amerika Syarikat bersama New York City FC, di mana beliau pernah bergandingan dengan Frank Lampard dan Andrea Pirlo.
Beliau tiba di Merseyside ketika Liverpool berada di persimpangan penting selepas kegagalan Slot mengekalkan status kelab itu sebagai kuasa utama bola sepak England.
Slot sebelum ini berdepan tugas sukar menggantikan Klopp, yang meninggalkan Liverpool pada 2024 selepas menghadiahkan kejuaraan EPL dan Liga Juara-Juara sepanjang sembilan tahun gemilang di Anfield.
Bekas pengendali Feyenoord itu memulakan tugas dengan cemerlang apabila membawa Liverpool meraih gelaran liga ke-20 pada musim pertamanya, dibantu oleh 29 gol Salah.
Namun, Slot gagal menghalang kemerosotan Liverpool pada musim 2025/26 apabila prestasi pasukan merudum sejak penghujung September dan akhirnya menamatkan musim tanpa sebarang trofi.
Hubungan Slot dengan Salah turut dilaporkan semakin renggang, sementara penyokong Liverpool mula hilang sabar dengan persembahan lesu serta keputusan hambar pasukan.
Liverpool akhirnya menamatkan musim di tangga kelima, ketinggalan 25 mata di belakang juara Arsenal, namun masih berjaya mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






