Kini tampil bertudung, Shasha Abedul syukur dapat 'hidayah'

Kini tampil bertudung, Shasha Abedul syukur dapat 'hidayah'



norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Selepas lama menyimpan hasrat menutup aurat rambutnya, pelakon Shasha Abedul, 28, kini berharap terus istiqamah dengan imej baharu yang sudah tampil bertudung sejak sebulan lalu.

Shasha berkata, keputusan bertudung itu dibuat dengan rela hati apabila terbit rasa bersalah dalam dirinya ketika ingin memuat naik foto tidak menutup aurat di media sosial.

“Tiba-tiba saja rasa bersalah ketika nak buat hantaran gambar di media sosial saya. Rasa bersalah sangat pada diri sebab tak tutup aurat. Mungkin juga itu detik ‘hidayah’ untuk saya.

“Hidayah itu memang datang sendiri. Sebabnya, suatu hari yang saya bangun dari tidur dan nak muat naik gambar (tak bertudung) dalam Instagram (IG), tiba-tiba saja ada rasa sangat bersalah.

“Malah, bila hendak keluar rumah pun saya jadi tak selesa kerana tidak bertudung. Diri saya seperti dihantui rasa bersalah sebab tak tutup aurat. Kiranya, betul jugalah macam orang cakap hidayah dah sampai,” kata Shasha ketika ditemui pada sidang media drama Project: Exit di pusat membeli-belah terkemuka di ibu kota, malam semalam.

Menurut Shaha, disebabkan tidak mahu terus dihimpit rasa bersalah itu, maka dia akhirnya nekad memakai tudung dan tidak mahu melengahkan lagi perkara yang baik untuk dirinya.

“Memang dah lama sebenarnya saya berniat pakai tudung. Tapi, tak nak buat terburu-buru sebab saya ini jenis orang yang tak mahu buat satu-satu perkara setengah jalan. Saya suka buat dengan sungguh-sungguh.

“Jadi, pada permulaannya itu saya pergi hadiri kelas agama dan fahamkan kenapa perlu tutup aurat, termasuk untuk siapa aurat kita? Bila dah dapat ilmu yang dicari itu, syukur Alhamdulillah.

“Selain itu, saya pakai tudung ini juga bukan untuk dapatkan pujian orang. Apa yang saya lakukan sekarang ini adalah mengikut perintah Allah saja. Semoga saya terus istiqamah,” katanya.

Pada tahun lalu, Shasha pernah menerima kecaman teruk daripada netizen apabila dia masih belum memakai tudung selepas pulang dari menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah sepanjang Ramadan sehingga meraikan hari raya Aidilfitri di sana.

Bagaimanapun, Shasha akhirnya mengejutkan pengikutnya apabila memuat naik foto memakai tudung pada hujung September lalu dan turut memadam foto menampakkan aurat di akaun IG miliknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top