Kes pergaduhan di Ulu Sungai Merah, lapan lelaki ditahan

Kes pergaduhan di Ulu Sungai Merah, lapan lelaki ditahan


Sibu: Polis menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di kawasan Ulu Sungai Merah di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan G Balamurugan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada anggota Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kira-kira 8.30 malam.

Beliau berkata, susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sibu menahan lapan suspek berusia antara 20 hingga 33 tahun.

“Dalam kejadian itu, tiga lelaki dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top