Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tampil mempertahankan pendirian Barisan Nasional (BN) Johor untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sambil menegaskan keputusan itu tidak seharusnya dilabel sebagai tindakan rasis.
Tak seharusnya dilabel sebagai rasis
Menerusi kenyataan beliau yang dikongsi di media sosial, DAP merupakan sebuah parti politik dan bukannya mewakili sesuatu kaum, justeru penolakan terhadap parti itu perlu dilihat dalam konteks politik dan bukannya perkauman.
“Tolak DAP bukan rasis. Itu politik.
DAP bukan kaum. DAP ialah parti politik.
“Kalau tolak DAP dikira rasis, maka apa pula namanya bila DAP tolak MCA, UMNO, MIC, PAS atau Bersatu selama ini?” ujarnya.
Kenang DAP ditolak di Sabah
Beliau turut merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyaksikan DAP gagal memenangi kesemua lapan kerusi yang ditandingi termasuk di kawasan bandar yang mempunyai ramai pengundi Cina.
“Kita lihat juga PRN Sabah baru-baru ini.
“DAP kalah semua 8 kerusi yang ditandingi, termasuk di kawasan bandar yang ada ramai pengundi Cina.
“Pengundi Cina di Sabah tolak DAP. Jadi adakah kita mahu kata pengundi Cina di Sabah pun rasis terhadap DAP?
“Sudah tentu tidak.
“Mereka buat pilihan politik. Sama juga dengan rakyat Johor. Mereka berhak buat pilihan politik sendiri,” katanya.

Pertahan Onn Hafiz
Dalam kenyataannya lagi, Wee turut mempertahankan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang didakwa sesetengah pihak sebagai bersikap rasis susulan pendirian BN Johor yang tidak mahu bekerjasama dengan DAP.
“Sepanjang saya dalam politik, saya boleh kata dengan ikhlas bahawa Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, antara pemimpin paling tidak rasis yang pernah saya temui dan bekerjasama.
Beliau tidak melihat rakyat Johor melalui lensa kaum yang sempit. Beliau benar-benar melihat semua rakyat Johor sebagai satu rakyat, satu keluarga, satu Bangsa Johor,” ujarnya lagi.
Menurut Wee, dakwaan tersebut tidak berasas memandangkan dua wakil MCA dalam kerajaan negeri Johor diberikan tanggungjawab penting dalam pentadbiran negeri.
“Malah, antara EXCO Johor yang sering beliau rujuk dan beri tanggungjawab penting ialah dua wakil MCA dalam kerajaan negeri.
YB Lee Ting Han memegang portfolio Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.
YB Ling Tian Soon pula memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar.
Ini bukan portfolio kecil. Ini tanggungjawab besar yang melibatkan ekonomi Johor, pekerjaan, pelaburan, kesihatan rakyat, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,”

Tambah beliau, keputusan BN Johor untuk bergerak solo adalah hak gabungan tersebut berdasarkan mandat, rekod dan tanggungjawab yang dimiliki di negeri itu.
Sumber: Facebook Wee Ka Siong






