Kuala Krai: Jalan Persekutuan Kota Bharu-Gua Musang di kawasan Bukit Akil di sini yang ditutup susulan aktiviti letupan terkawal bagi projek pembinaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), dijangka dibuka semula kepada pengguna pada 6 pagi esok.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, kerja pembersihan sedang giat dijalankan selepas sisa batu dan tanah daripada aktiviti letupan itu, jatuh di kedua-dua arah jalan menyebabkan laluan tersebut tidak dapat dilalui semua kenderaan.
“Aktiviti letupan telah dijalankan di bawah kawalan polis pada 4.05 petang tadi.
“Hasil letupan kali ini adalah luar biasa dan tidak dijangka. Sepatutnya kaedah letupan terkawal dapat dilaksanakan dengan kesan yang minimum,” katanya kepada Bernama malam ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kerosakan atau mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif ke Kota Bharu iaitu melalui Kampung Peria, Mengkebang dan Batu Balai hingga kerja pembersihan selesai dan laluan dibuka semula demi keselamatan orang awam.
Terdahulu, tular di media sosial gambar dan video menunjukkan timbunan batu besar menutup laluan di kawasan Bukit Akil serta kesesakan lalu lintas yang panjang sejak petang tadi, mencetuskan kebimbangan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan, khususnya di Jalan Persekutuan Kota Bharu-Gua Musang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






