Kuala Lumpur: Seramai 68 kakitangan daripada 14 bank berjaya menyekat transaksi penipuan dan aktiviti kewangan mencurigakan bernilai lebih RM139 juta tahun lalu sekali gus menyelamatkan dana pelanggan daripada menjadi mangsa jenayah penipuan.
Sebagai pengiktirafan terhadap tindakan pantas dan kewaspadaan mereka dalam mengesan transaksi mencurigakan serta menggagalkan cubaan penipuan, kesemua kakitangan berkenaan menerima penghargaan menerusi Acara Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026, di sini, hari ini.
Mereka adalah kakitangan bertugas dengan Agrobank, Alliance Bank, AmBank, Bank of China, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB, HSBC, Maybank, OCBC, Public Bank, RHB dan UOB.
Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu merupakan sebahagian daripada kempen #JanganKenaScam yang dilancarkan pada 2023 oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) serta Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Untuk Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, tindakan pantas dan kewaspadaan kakitangan bank memainkan peranan penting dalam mengesan aktiviti mencurigakan serta menghalang transaksi penipuan sebelum kerugian lebih besar berlaku.
“Nilai transaksi penipuan yang berjaya dicegah meningkat tiga kali ganda kepada RM1.19 bilion pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam membendung penipuan yang semakin canggih,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank berkata, industri perbankan kini berdepan cabaran lebih kompleks apabila sindiket penipuan menggunakan pelbagai taktik baharu termasuk penyamaran identiti, panggilan palsu dan mesej yang semakin meyakinkan mangsa.
Katanya, usaha berterusan institusi kewangan memperkukuh sistem perlindungan pelanggan turut menyumbang kepada peningkatan 46 peratus dalam cubaan transaksi penipuan yang berjaya disekat pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jenayah penipuan kini bukan lagi jenayah biasa apabila sindiket beroperasi secara terancang dengan menggunakan teknologi terkini serta teknik manipulasi psikologi bagi memperdayakan mangsa.
“Di sebalik jumlah RM139 juta yang berjaya diselamatkan itu, terdapat simpanan persaraan, dana pendidikan anak-anak, modal perniagaan dan hasil jualan syarikat yang dikumpulkan bertahun-tahun oleh rakyat Malaysia.
“Jika bukan kerana tindakan pantas pegawai-pegawai ini, wang tersebut mungkin menjadi sebahagian daripada statistik kerugian akibat penipuan,” katanya.
Menurutnya, kerugian akibat penipuan dalam talian di negara ini mencecah RM2.9 bilion, dengan kira-kira RM1.5 bilion daripadanya membabitkan penipuan pelaburan tidak wujud.
Katanya, pelanggan juga perlu memainkan peranan dengan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melakukan transaksi kewangan.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai memanfaatkan platform Semak Mule bagi menyemak nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan sebelum membuat sebarang pembayaran.
“Pengalaman pihak polis mendapati ramai mangsa penipuan dalam talian tidak membuat semakan melalui Semak Mule sebelum melakukan transaksi. Apabila wang mereka sudah hilang serta mangsa mula menyedari mereka sudah ditipu, barulah laporan polis dibuat.
“Sedangkan semakan awal merupakan satu bentuk usaha wajar yang boleh membantu pelanggan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, industri perbankan kini memberi tumpuan kepada empat bidang utama bagi memperkukuh perlindungan pelanggan iaitu penggunaan ciri Money Lock atau Money Vault, sistem Malware Shielding, fungsi Kill Switch dan kemudahan semakan keselamatan layan diri dalam aplikasi perbankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






